Australia rampas lebih 100,000 lipas eksotik hidup

Australia rampas lebih 100,000 lipas eksotik hidup

Sydney: Pihak berkuasa Australia merampas lebih 100,000 lipas eksotik hidup daripada seorang pembiak baka komersial di negeri New South Wales dalam apa yang disifatkan pegawai sebagai rampasan terbesar spesies invertebrata eksotik haram pernah direkodkan di negara itu, lapor agensi berita Jerman (dpa).

Rampasan itu dilakukan di Bathurst, kira-kira 200 kilometer ke barat Sydney.

Jabatan Perubahan Iklim, Tenaga, Alam Sekitar dan Air (DCCEEW) pada Jumaat memaklumkan serangga yang dianggarkan bernilai sehingga A$200,000 (AS$142,000) itu termasuk lipas dubia dan lipas berdesis Madagascar, spesies yang tidak boleh diimport secara sah ke Australia.

“Kami memandang serius tanggungjawab melindungi biodiversiti unik Australia dan pelanggaran undang-undang alam sekitar negara,” menurut DCCEEW dalam satu kenyataan.

Jabatan itu memaklumkan lipas berkenaan belum menjalani penilaian risiko alam sekitar dan boleh mengancam hidupan liar tempatan serta sektor pertanian sekiranya dilepaskan ke persekitaran.

Di bawah undang-undang Australia, spesies yang tidak diluluskan untuk import juga tidak boleh dipelihara, dibiakkan atau dijual secara sah, tanpa mengira bagaimana ia diperoleh.

Pihak berkuasa turut memberi amaran kepada perniagaan haiwan peliharaan dan pemilik reptilia bahawa pemilikan, pembiakan atau perdagangan serangga itu boleh dikenakan tindakan di bawah undang-undang persekutuan.

Australia mengekalkan antara kawalan biosekuriti paling ketat di dunia bagi melindungi hidupan liar unik serta industri pertaniannya daripada spesies invasif dan penyakit.

Sementara itu, Jabatan Industri Utama dan Pembangunan Wilayah New South Wales kini menyelia proses eutanasia dan pelupusan serangga itu.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top