
Dr Tengku Muhammad Fakhruddin (tengah) menyampaikan anugerah Jawatankuasa Pemuda Pas Cawangan Terbaik.
Foto: ADILA SHARINNI WAHID
JELI – Pas berhasrat untuk bertanding lebih banyak kerusi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan susulan keyakinan parti itu terhadap kekuatan jentera dan calon yang dimiliki.
Pengarah Pilihan Raya Pemuda Pas Pusat, Dr Tengku Muhammad Fakhruddin Tengku Muhammad Fauzi berkata, parti itu akan mengekalkan kerusi yang ditandingi sebelum ini, namun turut melihat peluang untuk bertanding di beberapa kerusi tambahan yang dirasakan mempunyai potensi kemenangan.
Menurutnya, keputusan muktamad mengenai agihan kerusi akan ditentukan dalam mesyuarat pilihan raya parti yang dijadualkan berlangsung di Kedah pada Sabtu.
“Kami sudah ada kerusi-kerusi yang ditandingi sebelum ini dan akan kekalkan kerusi tersebut.
“Namun ada beberapa kerusi lain yang di lrasakan mempunyai kekuatan dan kami juga mempunyai calon yang sesuai. Perkara itu akan dibincangkan dan diputuskan dalam mesyuarat pilihan raya,” katanya selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Dewan Pemuda Pas Kawasan Jeli Kali Ke-44 di Ayer Lanas di sini pada Jumaat.

Pemuda Pas Jeli yang menghadiri Mesyuarat Agung Tahunan Dewan Pemuda Pas Kawasan Jeli Kali Ke-44 di Ayer Lanas pada Jumaat. Foto: ADILA SHARINNI WAHID
Beliau berkata, Pas ketika ini masih menunggu taklimat lanjut berhubung strategi dan gerak kerja menghadapi PRN Negeri Sembilan yang bakal diadakan susulan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) negeri itu pada Jumaat.
Pada PRN lalu, Pas memenangi tiga kerusi DUN iaitu Gemencheh, Serting dan Paroi.
Mengulas lanjut, beliau berkata, sebarang keputusan berkaitan pertambahan kerusi yang akan ditandingi Pas akan diputuskan menerusi perbincangan bersama kepimpinan parti dan Perikatan Nasional (PN).
“Kami akan melihat kerusi-kerusi yang dirasakan mempunyai kekuatan untuk Pas dan keputusan akhirnya akan dibuat dalam mesyuarat,” katanya.



