Isteri nak cerai, suami bawa jengkaut roboh rumah

Isteri nak cerai, suami bawa jengkaut roboh rumah

Washington: Pertikaian rumah tangga menjadi ekstrem apabila sebuah rumah di Butler Country, Pennsylvania, Amerika Syarikat rosak teruk selepas seorang lelaki didakwa merobohkannya menggunakan jengkaut, lapor News.com.au.

Menurut laporan tempatan, Eric Pierwsza, 48, menggunakan jengkaut berat itu untuk merobohkan bahagian belakang rumah keluarganya selepas dipercayai berjaga sepanjang malam dan meminum arak sehingga mencetuskan pertengkaran dengan isterinya.

Kerosakan pada rumah itu sangat teruk sehingga penyiasat percaya ia menjejaskan integriti struktur keseluruhan bangunan berkenaan.

Menurut CBS News, kejadian itu berlaku apabila isteri Pierwsza memaklumkan bahawa perkahwinan mereka sudah berakhir.

Pierwsza bertindak balas dengan memaklumkan akan meruntuhkan rumah mereka.

Pihak berkuasa mendakwa Pierwsza memanjat jentera berat itu dan mula merobohkan rumah itu ketika isteri serta dua anak perempuannya masih berada di dalam kediaman berkenaan.

Bunyi jengkaut yang meruntuhkan struktur rumah itu turut didengari dalam panggilan kecemasan 911 yang dibuat oleh isterinya dalam keadaan panik.

Selepas merosakkan rumah itu, Pierwsza dilaporkan masuk semula ke dalam rumah, mengambil beg sukan dan meninggalkan lokasi sebelum dikesan dan ditahan di sebuah pekan berhampiran.

Pierwsza ditahan susulan kejadian itu dan kini berdepan beberapa pertuduhan termasuk menyebabkan bencana, melakukan perbuatan berbahaya yang melampau dan berkelakuan tidak senonoh.

Rekod mahkamah turut menunjukkan bahawa isterinya merancang untuk memohon perintah perlindungan daripada penderaan berikutan insiden yang menakutkan itu.

Pierwsza dijadualkan hadir ke mahkamah pada 9 Jun ini bagi sebutan awal kes.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top