Polis siasat video tular lelaki didakwa warga Myanmar miliki MyKad

Polis siasat video tular lelaki didakwa warga Myanmar miliki MyKad

am@hmetro.com.my

Putrajaya: Polis menjalankan siasatan berhubung individu yang didakwa berasal dari Myanmar dan memiliki MyKad seperti video tular di media sosial.

Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner Aidi Sham Mohamed berkata, pihaknya menerima laporan berhubung perkara itu, hari ini dan siasatan awal mendapati video tular di Facebook melalui akaun ‘Na’am Ahmad’ yang mempersoalkan bagaimana individu didakwa berasal dari Myanmar namun boleh memiliki MyKad.

“Hasil siasatan juga mendapati video berkenaan adalah rakaman yang sudah diulang siar oleh pihak kedua.

“Semakan lanjut mendapati tiada sebarang dokumen pengenalan diri atau MyKad dipaparkan dalam rakaman video berkenaan bagi menyokong dakwaan yang dibuat,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Sehubungan itu, katanya, pihaknya sudah merujuk perkara itu kepada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) untuk tindakan semakan serta siasatan bagi memastikan kesahihan maklumat yang ditularkan.

“Orang awam dinasihatkan supaya tidak menyebarkan sebarang maklumat yang tidak sahih atau palsu berkaitan kejadian itu kerana ia boleh menimbulkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat serta mencemarkan nama baik pihak yang terbabit.

“Orang ramai dinasihatkan juga untuk mendapatkan maklumat daripada sumber rasmi dan menyalurkan sebarang maklumat berkaitan kepada pihak polis bagi membantu siasatan,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan JPN membuat laporan polis berhubung video tular di media sosial memaparkan seorang lelaki didakwa berasal dari Mynamar mempunyai MyKad.

JPN dalam perkongsian hantaran di Faceboook memaklumkan, laporan polis itu dibuat untuk siasatan lanjut pihak berkuasa susulan video itu bagi mengelak kekeliruan, spekulasi dan kegusaran awam.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top