SHAH ALAM – Sebarang tindakan meminta Yang Dipertuan Besar turun takhta perlu dilaksanakan mengikut peruntukan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan dan adat istiadat yang diamalkan di negeri itu.
Pakar Undang-Undang, Prof Emeritus Datuk Noor Aziah Mohd Awal berkata, Perkara 10 Undang-Undang Tubuh Negeri Sembilan memperuntukkan bahawa Yang di-Pertuan Besar boleh diminta untuk menangguhkan perkhidmatannya atas sebab-sebab tertentu, termasuk faktor kesihatan.
Menurutnya, dalam keadaan sedemikian, baginda tidak menjalankan tugas sebagai Yang di-Pertuan Besar bagi tempoh tertentu dan seorang pemangku boleh dilantik untuk melaksanakan fungsi berkenaan sehingga baginda kembali berkhidmat.
“Tempoh penangguhan itu boleh ditetapkan sama ada enam bulan, setahun atau bergantung kepada tahap kesihatan dan keadaan semasa,itu yang pertama.
“Kedua, baginda boleh diminta turun takhta tetapi kita kena ingat perkataan pecat atau dilucutkan tak ada sebenarnya dalam peruntukan klause 2 (B ). Tuanku mesti ‘voluntarily’ turun tahta kerana adat dan beradab.
“Baginda perlu diberikan peluang untuk mengetahui dan memahami perkara atau dakwaan yang dibangkitkan terhadapnya. Baginda juga sewajarnya diberi ruang untuk memberi penjelasan atau menjawab sebarang tuduhan sebelum sebarang keputusan dibuat.
“Selepas proses tersebut dilaksanakan, Undang Yang Empat perlu membuat keputusan sama ada untuk meminta Yang di-Pertuan Besar turun takhta atau mengekalkan kedudukan baginda,” katanya.
Sebelum ini, Undang Yang Empat menggunakan kuasa mereka memasyhurkan Tunku Nadzaruddin Tuanku Ja’afar sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan ke-12 dalam satu majlis yang berlangsung di sebuah resort di Alor Gajah, Melaka, hari ini.
Majlis pemasyhuran ringkas oleh Undang Luak Jelebu, Maarof Mat Rashad yang mewakili Undang Yang Empat.
Tambah Noor Aziah, proses berkenaan sepatutnya dilakukan secara tertutup dan mengikut adat istiadat Negeri Sembilan, termasuk memaklumkan perkara berkenaan secara rasmi kepada Baginda.
Jelasnya, Menteri Besar juga perlu terlibat dalam proses itu kerana deklarasi yang dibuat oleh Undang Yang Empat bagi meminta Yang di-Pertuan Besar turun takhta mensyaratkan tandatangan Menteri Besar sebagaimana yang diperuntukkan oleh undang-undang.
“Tetapi situasi sekarang di Negeri Sembilan, sebelum perkara itu berlaku sudah pun diumumkan. Saya ingat seminggu atau dua minggu selepas Menteri Besar membuat pengumuman bahawa Undang Luar Sungai Ujung telah pun dipecat daripada jawatannya.
“Pemecatan itu telah dibawa kepada Dewan Keadilan dan Undang (DKU) dan telah menasihatkan Luak Sungai Ujung untuk menerima pemecatan itu dan boleh buat pelantikan undang yang baru mengikut adat.
“Itu apa yang saya baca dan fahami melalui laporan akhbar, perkara itu telah dibincangkan dan diputuskan terlebih dahulu sebelum dibawa ke DKU untuk pengesahan. Sebelum itu, pihak berkaitan termasuk ibu soko telah mengadakan mesyuarat dan mencapai keputusan mengikut proses adat yang ditetapkan,” ulasnya.



