Larangan pendakian 'dayhike' dan 'compressed hike' di Perak berkuat kuasa

Larangan pendakian 'dayhike' dan 'compressed hike' di Perak berkuat kuasa

am@hmetro.com.my

Ipoh: Jabatan Perhutanan Perak (JPNPk) melarang kegiatan pendakian secara ‘dayhike’ atau ‘compressed hike’ di pergunungan berisiko di negeri ini berkuat kuasa serta-merta.

‘Dayhike’ merujuk kepada aktiviti mendaki yang diselesaikan dalam tempoh sehari, manakala ‘compressed hike’ adalah pendakian yang dilakukan dalam tempoh masa tertentu namun dipadatkan berbanding jadual biasa.

JPNPk menerusi notis yang dimuat naik di Facebook hari ini berkata, laluan pendakian Trans Spencer Chapman iaitu membabitkan jajaran Gunung Bar Gading-Gunung Kak-Gunung Batu Putih ditetapkan untuk tempoh minimum pendakian selama lima hari.

Katanya, tempoh minimum lima hari juga diperlukan bagi Trans Titiwangsa V1 iaitu membabitkan Gunung Korbu-Gunung Gayong-Gunung Yong Belar.

JPNPk berkata, ketetapan itu adalah selepas mengambil kira penilaian risiko semasa dan kesesuaian bentuk muka bumi di lapangan.

“Kegagalan terhadap pematuhan arahan ini boleh mengakibatkan ID (pengenalan diri) MGP (Malim Gunung Perhutanan) yang terbabit dibekukan dan akan disenarai hitam daripada MGP Perak berkuat kuasa serta-merta bagi tempoh enam bulan atau lebih, mengikut kesesuaian,” menurut notis itu.

Selain Trans Spencer Chapman dan Trans Titiwangsa V1, laluan lain ditetapkan antara tiga hingga empat hari adalah Trans Beratih (Bukit Berapit-Gunung Rayu-Gunung Batu Putih) iaitu minimum empat hari dan Trans Korga (Gunung Korbu-Gunung Gayong) – tiga hari.

Lain-lain laluan pendakian dengan tempoh minimum tiga hari ialah Trans Jerging (Gunung Suku-Gunung Irau) dan Trans Batu (Gunung Batu Putih-Gunung Batu Bujang-Gunung Kak-Gunung Batu Dara), selain Trans Slim (Gunung Liang East / West-Gunung Chondong Geliting-Gunung Tumang Batak).

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat lanjut di portal https://www.perakforestry.gov.my.

Sebelum ini, pendaki Jaslinda Saludin, 49, dilaporkan hilang di Gunung Batu Putih, Tapah ketika bersama 13 pendaki lain menyertai pendakian di Trans Spencer Chapman bermula jam 2 pagi 23 Mei lalu.

Operasi mencari dan menyelamatkannya masih berterusan namun pada skala kecil.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top