mohamadridzuan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur : Pelakon filem 5 Bomoh, Ungku Hariz, 41, menafikan pergerakannya dikongkong isteri, Jihan Muse.
Ia berikutan Jihan yang juga pelakon dan pengacara popular, sentiasa bersama menemaninya ke mana-mana sahaja bersama anak-anak mereka.
“Tak ada lah kontrol. Jihan suka berjalan. Saya pula tak suka berjalan. Jadi bila bekerja di luar, dia ikut berjalan lah. Dia macam luangkan masa.
“Lagipun dia (Jihan) menguruskan saya. Kiranya situasi kami menang-menang,” katanya ketika ditemui pada acara Pickleball 5 Bomoh sempena promosi filem terbabit, Isnin lalu.
Ungku Hariz atau nama sebenarnya, Ungku Hariz Faizal Ungku Mohamed Fadli berkata, kehidupan mereka sentiasa meriah dengan kehadiran anak-anak.
“Macam tiada kehidupan. Kiranya sentiasa sibuk dan macam tak ada masa, kira-kira 24 jam itu tak cukup lah. Anak-anak punya kerenah memanglah.
“Sebab kita memang biasanya bergerak sebagai satu pasukan. Memang pergi mana-mana pun akan bawa semua anak-beranak. Mana-mana aktiviti yang boleh menerima keluarga, kita pergi.
“Mana-mana yang tak benarkan kanak-kanak masuk, biasanya kami tak pergi. Setakat tinggal sekejap-sekejap dekat nak untuk kami pergi ‘event’, ada lah,” katanya.
Pasangan ini bagaimanapun jarang meninggalkan anak-anak kerana tidak mempunyai pembantu rumah.
“Jadi kami jaga sendiri sama-sama. Ataupun kami ambil masa jaga mereka bergilir-gilir. Kami tak ambil pembantu rumah kerana lingkungan kami banyak ada masalah dengan pembantu rumah.
“Tak ada masa lah nak pening kepala kerana pembantu rumah. Dan saya tak nak anak rapat dengan pembantu rumah. Momen-momen anak membesar sangat cepat.
“Saya tak nak dia hilang dan dia rapat dengan orang lain, selain daripada ibu bapa mereka. Pahala juga jaga anak-anak,” kata Ungku Hariz.
Pasangan ini berkahwin pada 2016 dan dikurniakan tiga anak iaitu Ungku Arsalan Haq, 8, Ungku Altamis Barr, 5, dan Ungku Attufayl Adl, setahun lima bulan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




