anbia@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Tiada istilah kompromi apabila Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) akan meneruskan usaha memerangi aktiviti perikanan haram menggunakan pelbagai taktik licik.
Langkah itu dizahirkan bersempena sambutan Hari Kesedaran Memerangi Aktiviti Perikanan Tidak Sah, Tidak Dilapor dan Tidak Dikawal Selia (IUU Fishing Day 2026) hari ini.
Ketua Pengarah Perikanan, Datuk Adnan Hussain berkata, DOF menegaskan komitmen berterusannya bagi memperkukuh kerjasama penguatkuasaan antara agensi dalam membanteras aktiviti perikanan tidak sah (IUU Fishing) yang boleh menjejaskan kelestarian sumber perikanan, sekuriti makanan dan kedaulatan perairan negara.
Menurutnya, aktiviti IUU Fishing terus menjadi cabaran dalam usaha pengurusan dan pemuliharaan sumber perikanan negara berikutan taktik yang digunakan semakin kompleks serta sukar dikesan.
“Antara modus operandi yang dikenal pasti termasuk mematikan Sistem Pemantauan Vesel (VMS) bagi mengelakkan pengesanan, memanipulasi data pendaratan hasil perikanan, menceroboh kawasan perikanan yang tertakluk kepada syarat dan peraturan pelesenan tertentu.
“Ini termasuk pencerobohan vesel pukat tunda komersial ke Zon A yang menyalahi syarat pelesenan dan peraturan penangkapan ikan yang ditetapkan.
“Aktiviti IUU Fishing bukan sahaja menyebabkan kehilangan sumber perikanan negara, malah boleh menjejaskan keseimbangan ekosistem marin serta sumber pendapatan komuniti nelayan yang bergantung kepada sektor ini.
“Jabatan Perikanan Malaysia akan terus memperkukuh penguatkuasaan Akta Perikanan 1985 [Akta 317] serta mempererat kerjasama dengan agensi penguat kuasa maritim bagi memastikan sumber perikanan negara terus dilindungi dan diurus secara mampan,” katanya.
Beliau berkata, keluasan Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) Malaysia yang hampir dua kali ganda keluasan daratan negara memerlukan pendekatan penguatkuasaan yang menyeluruh dan bersepadu melibatkan pelbagai agensi penguat kuasa maritim.
Dalam usaha memperkukuh penguatkuasaan di perairan negara, OP NAGA terus menjadi platform penyelarasan yang menghimpunkan kekuatan 17 agensi penguatkuasaan termasuk Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Pasukan Polis Marin (PPM) dalam melaksanakan pemantauan dan penguatkuasaan di perairan negara.
Hasil kerjasama penguatkuasaan yang dilaksanakan secara bersepadu bagi tempoh 2020 hingga 2025, sebanyak 546 kes tangkapan Vesel Penangkapan Ikan Asing (VNA) direkodkan oleh agensi-agensi yang terlibat.
Daripada jumlah itu, APMM merekodkan 474 kes atau 86.8 peratus daripada keseluruhan tangkapan, diikuti PPM sebanyak 53 kes dan DOF sebanyak 19 kes.
Analisis trend menunjukkan jumlah tangkapan VNA menurun daripada 126 kes pada tahun 2021 kepada 33 kes pada tahun 2025, iaitu pengurangan sebanyak 73.8 peratus. Penurunan tekal ini membuktikan keberkesanan penguatkuasaan bersepadu yang dilaksanakan secara konsisten oleh pelbagai agensi, termasuk melalui kehadiran aset di zon maritim kritikal melebihi 60 batu nautika dari pesisir pantai.
Kehadiran berterusan ini turut meningkatkan kesan pencegahan terhadap aktiviti pencerobohan vesel asing ke perairan negara.
Walaupun operasi penguatkuasaan sering berdepan cabaran termasuk keadaan laut bergelora semasa Monsun Timur Laut dengan ketinggian ombak mencecah lima meter serta tindakan agresif segelintir kru vesel asing bagi mengelakkan penahanan, agensi penguat kuasa terus melaksanakan tanggungjawab masing-masing dalam melindungi sumber perikanan serta kedaulatan perairan negara.
DOF menyeru komuniti nelayan, pemain industri perikanan dan masyarakat awam untuk terus menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa sekiranya mengesan sebarang aktiviti perikanan yang mencurigakan.
Kerjasama semua pihak amat penting bagi memastikan sumber perikanan negara terus terpelihara dan dapat dimanfaatkan secara mampan demi kesejahteraan rakyat serta kelestarian sektor perikanan negara.
© New Straits Times Press (M) Bhd




