mohamadridzuan@hmetro.com.my
Kemunculan Arfie Shah sebagai ‘hero’ dalam filem Impak Maksima 2 arahan Dr Ahmad Idham yang ditayangkan pada Julai tahun lalu, dilihat kurang menjadi.
Bagaimanapun, Arfie atau nama sebenarnya, Ad Wafri Shaharuddin, 33, tidak mudah mengaku kalah mahupun kecewa bagi meneruskan perjuangannya dalam bidang lakonan.
Perlahan-lahan, Arfie mahu bangkit, terus belajar dan memperbaiki kekurangan diri. Dia kini mampu tersenyum kerana semakin dihujani tawaran demi tawaran berlakon.
“Impak Maksima 2 adalah filem kedua saya. Boleh dikatakan saya baru sangat dalam dunia lakonan untuk diberi peluang menggalas satu watak yang sangat-sangat besar.
“Untuk cerita yang pernah meletup 17 tahun dahulu, itu adalah satu beban, satu tekanan untuk saya. Bila kita tertekan, mungkin itu silap saya apabila tak dapat memberi keikhlasan dalam berkarya,” katanya.
Arfie berkata, perasaan risau menguasai dirinya ketika itu sekali gus menjadikan apa yang dibuat serba tidak kena.
“Jadi saya banyak berfikir dan bila kita banyak berfikir ini, kita tak ikhlas. Berlakon ini, dia kena tenang. Kena ada ketenangan sebab kita nak menjadi sesuatu karakter.
“Disebabkan cerita itu, saya belajar sesuatu benda yang sangat-sangat baik daripada abang Idham. Walaupun sambutan begitu, dia tetap ‘push’ saya.
“Dia sentiasa beri semangat dan terus dorong saya ke depan untuk terus maju dalam kerjaya ini. Saya rasa insya-Allah dapat jadi semakin baik dalam karier,” katanya.
Bercerita perkembangan terkini, Arfie berkata, dia baru sahaja membintangi filem serta drama untuk drama terbitan produksi TV3.
“Awal tahun ini, saya buat satu filem berjudul Kacau yang diadaptasi daripada novel bestseller karya Ariff Adly terbitan buku Fixi arahan Muzzamer Rahman.
“Buku fixi ini, orang kata satu buku yang sangat seram. Ia adalah filem horror pertama saya bersama Idan Aedan, Khayrisyah Kemal, Fimie Don, Sadiq M Jamil, Nurel Baharin, dan Evanatie Sannie.
“Memang saya boleh cakap, filem ini satu nafas filem horror yang baru. Sebabnya kita sudah tengok banyak filem genre begini, tapi kami keluar daripada kebiasaan itu,” katanya.
Dia turut membintangi filem Darah Gagap bersama Qi Razali dan Syazwan Zulkifli. Filem ini berkisar mengenai seorang bapa yang mahu menuntut bela terhadap kematian anaknya yang dibunuh.
“Ayah dia mahu cari kebenaran. Bayangkan saya berlakon dengan Qi yang juga Pelakon Lelaki Terbaik Festival Filem Malaysia ke-34, manakala Syazwan pula Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik Festival Filem Malaysia ke-34.
“Betapa beruntungnya saya dapat berlakon dengan mereka. Kedua-duanya sangat baik dan banyak mengajar saya. Banyak pengalaman baru yang saya dapat.
“Diam tak diam, saya pun sudah berlakon lima filem. Yang pertama saya buat filem Klepet. Lepas itu, Impak Maksima 2, ketiga Wantugo arahan Allahyarham Nurhanisham Muhammad, atau Labu,” katanya.
Filem aksi thriller dan battle royale pertama di Malaysia ini membariskan barisan pelakon iaitu Nia Atasha, Elizabeth Tan, Daiyan Trisha, Sky Iskandar, Ucop, Meerqeen, Sein Qudsi dan Zul Ariffin.
“Saya anggap rezeki apabila dapat berlakon dengan nama-nama hebat kerana dapat menimba ilmu daripada semua mereka. Namun, saya agak sedih dengan pemergian abang Nurhanisham.
“Dia adalah ‘Godfather’ saya dalam industri seni. Saya rasa industri kehilangan seorang pengarah sepertinya yang kita takkan jumpa lagi.
“Sepatutnya filem ini ditayangkan pada November tahun lalu, tapi ditukar tahun ini. Disebabkan kematiannya, tayangan filem ini akan ditunda lagi,” katanya.
Selain itu, Arfie juga aktif berlakon drama dan lakonannya kini dapat disaksikan menerusi Neraka Yang Terhijab yang disiarkan menerusi Tonton bermula Khamis lalu.
Drama ini turut menampilkan Ezzanie Jasny, Lorenzo Irman, Lan Siro dan ramai lagi.
© New Straits Times Press (M) Bhd




