Sayf Andika dulu lincah, kini berubah sejak hidap leukimia

Sayf Andika dulu lincah, kini berubah sejak hidap leukimia

am@hmetro.com.my

Kuala Kedah: Kehidupan Sayf Andika Muhamad Nizam, 2, yang sebelum ini lincah dan aktif kini berubah sekelip mata sejak dia disahkan menghidap leukimia, Mac lalu.

Sejak itu juga, ibu bapanya terpaksa menumpukan perhatian kepada anak bongsu dari dua beradik itu selain buntu memikirkan masalah kewangan apabila terpaksa berulang alik ke hospital setiap bulan.

Bapanya, Muhamad Nizam Musa, 35, berkata, pada mulanya dia dan isteri, Nur Syafarina Ibrahim, 36, tidak dapat menerima hakikat yang anak mereka menghidap penyakit itu, namun lama kelamaan, mereka dapat terima.

Katanya, segala-galanya bermula apabila Sayf Andika kerap demam serta batuk dan keadaan itu berlarutan sehinggalah dia dan isteri membawa anak mereka ke Klinik Kesihatan Kuala Kedah pada 15 Mac lalu.

“Doktor kemudian menyedut kahak serta mengambil sampel darah untuk mengetahui penyakitnya itu.

“Doktor meminta kami merujuk kes Sayf Andika ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) untuk mendapatkan keputusan lebih terperinci mengenai penyakitnya itu.

“Ketika itu, ada kelenjar di leher Sayf dan ketika di HSB, anak saya sekali lagi diambil sampel darah sebelum disahkan menghidap leukimia, ” katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Kota Nelayan, di sini hari ini.

Muhamad Nizam berkata, ketika itu anaknya perlu segera dirujuk ke Hospital Pulau Pinang dan menjalani rawatan kemoterapi di sana.

Katanya, selepas lebih sebulan berada di HPP, anaknya dibenarkan pulang dan seterusnya menjalani pemeriksaan kesihatan di HSB setiap dua kali sebulan.

“Saya berniaga laksa secara vendor untuk menampung kehidupan keluarga termasuk seorang lagi anak, Inka Medina, 6, yang masih bersekolah.

“Apabila Sayf masuk hospital dan ditahan di wad, saya tidak dapat berniaga kerana bergilir menjaga anak hingga terjejas mata pencarian.

“Segalanya berlaku secara tiba-tiba dan kami pun tak sangka Sayf akan sakit macam ni dan kami perlukan perbelanjaan yang banyak untuk kos rawatan serta ulang alik ke hospital serta perbelanjaan keluarga, ” katanya.

Katanya, Sayf sudah menjalani lebih 10 kali kemoterapi dan masih meneruskan rawatan di HSB.

Orang ramai yang ingin menyalurkan sumbangan boleh berbuat demikian melalui akaun bank CIMB 7638218112 atas nama bapa pesakit, Muhamad Nizam Musa.

Sementara itu, Pengerusi CSM, Zuraini Kamal yang menziarahi pesakit kanak-kanak itu turut menghulurkan sumbangan wang tunai serta barangan keperluan dapur untuk meringankan beban keluarga berkenaan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top