Isu sah pembubaran DUN Negeri Sembilan jangan dipolitikkan

Isu sah pembubaran DUN Negeri Sembilan jangan dipolitikkan

khairil.ashraf@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Isu kesahihan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan perlu dilihat secara berhati-hati dan tidak terlalu dipolitikkan.

Pensyarah Kanan Sains Politik, Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi Universiti Teknologi MARA, Mujibu Abd Muis berkata, secara prinsip, kesahihan pembubaran DUN bergantung kepada pematuhan terhadap prosedur perlembagaan negeri, khususnya kuasa pihak berkuasa yang diperuntukkan untuk memberi perkenan pembubaran.

“Dalam konteks Negeri Sembilan, sistem pemerintahannya mempunyai keunikan tersendiri berasaskan Adat Perpatih yang membabitkan institusi Undang Yang Empat. Namun, perlu dibezakan antara peranan adat, simbolisme politik dan kedudukan perundangan sebenar dalam proses pembubaran DUN.

“Sekiranya pembubaran sudah mendapat perkenan pihak yang mempunyai autoriti sah menurut perlembagaan negeri serta melalui nasihat kerajaan negeri seperti diperuntukkan dalam sistem raja berperlembagaan, maka dari sudut undang-undang ia kekal sah sehingga dibuktikan sebaliknya melalui saluran kehakiman atau tafsiran perlembagaan yang berautoriti,” katanya kepada Harian Metro.

Beliau berkata demikian mengulas mengenai dakwaan sesetengah pihak pembubaran DUN Negeri Sembilan yang diumumkan Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun adalah tidak sah.

Mengulas lanjut, Mujibu berkata, kenyataan politik oleh mana-mana pihak berkait pembubaran DUN Negeri Sembilan tidak sah juga tidak secara automatik menjadikan proses berkenaan terbatal.

“Dalam negara berperlembagaan, soal kesahihan undang-undang tidak ditentukan oleh persepsi politik atau polemik awam, tetapi berdasarkan tafsiran peruntukan perlembagaan dan amalan institusi yang sah.

“Namun demikian, polemik ini tetap penting dari sudut politik kerana ia menunjukkan bagaimana isu institusi tradisional dan perlembagaan boleh menjadi sebahagian daripada naratif politik menjelang pilihan raya,” katanya.

Mujibu dalam pada itu turut berpandangan, Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan berpotensi mempengaruhi landskap politik nasional, namun tidak semesti mengubahnya secara drastik dalam jangka masa pendek.

“Apa yang lebih penting ialah bagaimana keputusan PRN ini akan dibaca sebagai indikator awal terhadap kekuatan gabungan politik utama menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang. Pada saya Johor dan Negeri Sembilan membawa simbolisme politik yang berbeza.

“Johor secara tradisinya mempunyai hubungan rapat dengan kekuatan BN, khususnya UMNO, manakala Negeri Sembilan lebih sinonim dengan pengaruh PH berdasarkan rekod pentadbiran dan pola sokongan beberapa pilihan raya kebelakangan ini.

“Oleh itu, PRN kali ini lebih bersifat ujian mempertahankan dominasi sedia ada berbanding medan perubahan total,” katanya.

Sementara itu, penganalisis politik dari Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara (NASR), Prof Dr Azmi Hassan berkata, BN mengharapkan keputusan positif dalam PRN Johor, sekali gus ia akan memberikan momentum kepada negeri lain di bawah pentadbiran gabungan itu seperti Melaka, Pahang dan Perak.

“Dalam politik, momentum ini adalah penting dan kesan terhadap landskap politik adalah kita lihat di Negeri Sembilan.

“Negeri Sembilan itu ada masalah tentang adat iaitu PH menentang UMNO umpamanya di Negeri Sembilan.

“Tetapi apa yang berlaku pembubaran DUN Johor itu yang memberi tekanan kepada PH di Negeri Sembilan untuk membubarkan DUN mereka juga. Itu dikatakan kesan perubahan landskap utama,” katanya.

Selain itu katanya, Perdana Menteri yang juga Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut dalam tekanan dan dilema dalam menunggu keputusan PRN Johor untuk membubarkan Parlimen, selain bakal ada pembubaran di DUN negeri lain.

“Kalau (PRN) Johor itu memberi keputusan positif terhadap BN, tekanan terhadap PRU itu tidak begitu mendesak sangat. Datuk Seri Anwar boleh menggunakan tempoh sedia ada untuk tidak membubarkan Parlimen.

“Tetapi kalau PH mendapat keputusan positif, maka ini memberi tekanan sama ada PRU akan diumumkan atau tidak. Johor dan Negeri Sembilan yang besar kemungkinan (bakal diadakan) serentak PRN, memberikan satu gambaran sama ada PRN lain berlangsung dalam masa terdekat atau PRU akan diadakan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top