IPOH: Perak menyasarkan kutipan 50 pingat emas pada temasya Sukan Malaysia (Sukma) Selangor 2026 yang akan berlangsung pada Ogos depan.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Negeri Perak, Datuk Khairudin Abu Hanipah berkata, sasaran itu hasil maklum balas awal daripada pengurus pasukan dan jurulatih yang menilai potensi atlet berdasarkan persiapan semasa.
Menurutnya, sasaran itu bagaimanapun akan dimuktamadkan selepas beberapa sesi penilaian prestasi dan mesyuarat pengurusan yang dijadualkan berlangsung dalam tempoh terdekat.
“Semalam saya mengadakan perjumpaan bersama pengurus, jurulatih dan ketua-ketua kontinjen bagi membincangkan persiapan Perak ke Sukma Selangor.
“Berdasarkan pandangan dan penilaian awal mereka, sasaran yang dicadangkan adalah sekitar 50 pingat emas. Namun, angka itu akan diperhalusi semula selepas kita membuat penilaian menyeluruh terhadap prestasi atlet,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Festival Hari Belia Negara Peringkat Negeri Perak di Kompleks Belia dan Sukan Perak di sini hari ini.
Khairudin berkata, Perak akan menghantar 826 atlet untuk menyertai 37 acara pada temasya yang berlangsung dari 15 hingga 24 Ogos depan.
Katanya, persiapan kontinjen negeri telah bermula sejak tahun lalu menerusi pelbagai program pembangunan atlet termasuk kem latihan, pendedahan pertandingan serta pemantauan prestasi secara berterusan.
“Komitmen yang ditunjukkan oleh Majlis Sukan Negeri, persatuan sukan, pengurus pasukan dan jurulatih amat memberangsangkan.
“Malah, kerajaan negeri turut melaksanakan inisiatif pelantikan Exco Perak sebagai bapa angkat kepada sukan tertentu bagi membantu memperkukuh persiapan atlet,” katanya.
Beliau berkata, sukan tempur dijangka menjadi antara penyumbang utama pingat emas kerana menawarkan jumlah acara yang banyak.
Antara sukan yang dikenal pasti berpotensi menyumbang emas ialah silambam, muaythai, olahraga, menembak, memanah dan akuatik.
“Jika sasaran 50 pingat emas dapat direalisasikan, saya percaya Perak berupaya memperbaiki kedudukan ketujuh yang dicapai semasa Sukma Sarawak sebelum ini dan sekurang-kurangnya berada dalam kelompok lima terbaik.
“Malah, tidak mustahil kita mampu mencabar kedudukan tiga terbaik keseluruhan,” katanya.
Beliau berharap aspek pengadilan khususnya dalam sukan tempur dan seni bela diri diberi perhatian serius oleh penganjur bagi memastikan pertandingan berlangsung secara adil dan telus.
“Elemen pengadilan yang berkualiti penting bagi mengelakkan sebarang pertikaian yang boleh menjejaskan semangat atlet serta imej temasya sukan berkenaan,” katanya. – UTUSAN




