
Konflik berlarutan hampir 100 hari itu belum menampakkan jalan penyelesaian meskipun pelbagai inisiatif damai diusahakan Islamabad. – Foto Agensi
TEHERAN – Ketegangan baharu di Asia Barat mengancam gencatan senjata rapuh antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran yang berkuat kuasa sejak 8 April lalu.
Konflik yang berlarutan selama hampir 100 hari itu tiada tanda ia akan reda selepas rundingan kompleks yang diusahakan Pakistan gagal mencapai kesepakatan hingga kini.
Situasi di rantau itu kembali memuncak selepas kedua-dua pihak bertelagah dilaporkan saling berbalas serangan sejak Jumaat.
Tentera AS bertindak membedil tapak radar di Teheran selepas menembak jatuh dron yang dilancarkan di Selat Hormuz.
Tidak lama kemudian, pangkalan mereka di Kuwait dan Bahrain dilaporkan menjadi sasaran serangan balas Iran.
Pada awal pagi Sabtu, Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC) mengesahkan ia telah menyasarkan pangkalan musuh di negara Teluk sebagai respons tegas terhadap ‘pencerobohan’ AS ke atas Pulau Sirik dan Qeshm.
Pusat Perintah AS (CENTCOM) di Asia Barat mendakwa Teheran melancarkan kira-kira tujuh misil balistik ke Kuwait City dan Manama.
“Setakat ini tiada laporan mengenai kecederaan atau kematian melibatkan anggota kami,” ujarnya.
Situasi tegang itu berlaku ketika AS meneruskan proses membenarkan skuad kebangsaan Iran menghadiri kejohanan Piala Dunia 2026 yang dianjurkan bersama Kanada dan Mexico.
Duta AS ke Turkiye, Tom Barrack memaklumkan visa telah dikeluarkan kepada pemain Iran dan membuktikan sukan boleh melangkaui sempadan dan ketegangan politik.
Agensi berita Fars melaporkan visa bagaimanapun masih belum dikeluarkan kepada sebahagian anggota teknikal dan pegawai pengurusan pasukan kebangsaan.
Seorang pegawai AS berkata, pihaknya tidak akan membenarkan mana-mana individu menyalahgunakan sistem visa untuk memasuki negara itu atas alasan palsu.
Pasukan Iran dijadualkan berlepas dari Turkiye ke Sepanyol sebelum ke kem latihan mereka di Mexico yang dijangka tiba pada Ahad. – AFP



