firdaushashim@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Siapakah pemain yang dimaksudkan oleh bekas penyerang kebangsaan, Zaquan Adha Abdul Radzak dalam siri luahan panasnya di media sosial?
Persoalan itu kini menjadi topik hangat dalam kalangan peminat bola sepak tempatan selepas beberapa hantaran dimuat naik Zaquan di Instagram Story yang dipercayai ditujukan kepada seorang pemain terkenal tanah air yang didakwa enggan memberikan kerjasama untuk sebuah program televisyen.
Walaupun Zaquan tidak mendedahkan identiti individu terbabit, tinjauan di platform Thread mendapati ramai pengguna media sosial mula mengaitkan luahan berkenaan dengan bintang Selangor FC dan Harimau Malaya, Faisal Halim.
Spekulasi itu timbul selepas beberapa pengguna mendakwa pemain yang dimaksudkan tidak dapat memenuhi jemputan untuk hadir ke sebuah program televisyen yang dikendalikan Zaquan sebagai hos.
Malah, ada yang mengaitkan kenyataan Zaquan mengenai “rate” atau bayaran sebagai petunjuk bahawa beliau sekadar mahu mendapatkan maklum balas berhubung tuntutan bayaran sekiranya pemain terbabit ingin menyertai program berkenaan.
Dalam hantaran yang tular itu, Zaquan meluahkan rasa kecewa terhadap sikap individu berkenaan yang didakwa berubah selepas semakin dikenali dalam arena bola sepak tempatan.
“Kau jangan ingat sekarang nama kau orang sebut-sebut kau boleh belagak… aku tak mintak duit kau la, aku tanya rate kau berape je… kau ingat aku hamak sangat dengan kau ke??? Budi bahasa kena ada,” tulisnya.
Bekas pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) itu turut mendakwa beliau pernah melalui fasa populariti yang sama dan mengingatkan pemain terbabit supaya tidak terlalu mendabik dada dengan pencapaian semasa.
Lebih menarik perhatian, Zaquan turut memberi bayangan bahawa pemain yang dimaksudkan baru sahaja menikmati kejayaan besar apabila membantu pasukan mara ke pentas final kejohanan utama.
“Ingat kita tak selalu di atas… bila kau berhenti main bola satu hari nanti baru kau tahu langit tinggi ke rendah,” katanya.
Tidak lama kemudian, Zaquan memuat naik satu lagi hantaran yang menguatkan lagi teka-teki mengenai identiti pemain berkenaan.
“Player yang dah champion 12 cup pun tak sombong macam kau la. Baru masuk final S Cup je pun… nasib baik la JDT tak sign kau… puiiii,” tulisnya.
Kenyataan itu pantas mencetuskan pelbagai andaian dalam kalangan penyokong bola sepak tempatan, khususnya apabila terdapat pemain kebangsaan yang baru sahaja beraksi di pentas final musim ini.
Bagaimanapun, setakat ini tiada sebarang pengesahan bahawa individu yang dimaksudkan ialah Faisal Halim atau mana-mana pemain lain.
Zaquan juga tidak menamakan sesiapa secara khusus, manakala tiada kenyataan balas dikeluarkan oleh pemain yang dikaitkan dengan spekulasi tersebut.
Sehingga identiti sebenar didedahkan, luahan bekas penyerang Harimau Malaya itu dijangka terus menjadi perdebatan hangat dalam kalangan peminat bola sepak negara yang cuba merungkai siapakah sebenarnya pemain yang dimaksudkan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




