‘Terima kasih pasukan penyelamat, Orang Asli lindungi Jaslinda’ – PM

‘Terima kasih pasukan penyelamat, Orang Asli lindungi Jaslinda’ – PM

SHAH ALAM – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan rasa syukur selepas pendaki wanita, Jaslinda Saludin yang dilaporkan hilang sejak 24 Mei lalu ditemui berhampiran Kampung Lubuk Gaharu, Pos Musoh dalam keadaan selamat.

Malah, Anwar turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) termasuk sukarelawan, pasukan penyelamat serta komuniti Orang Asli di Lubuk Gaharu.

“Alhamdulillah syukur. Terima kasih sukarelawan dan pasukan penyelamat serta warga Orang Asli Lubuk Gaharu kerana melindungi saudari Jaslinda,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

ARTIKEL BERKAITAN: Jaslinda tinggal nota di puncak Gunung Batu Putih

‘Ibu lasak dan berani’ – Keluarga yakin Jaslinda mampu bertahan

Kronologi kehilangan Jaslinda

Terdahulu, media melaporkan Jaslinda, 49, yang hilang ketika mendaki di kawasan Gunung Batu Putih di Ipoh, Perak sejak 15 hari lalu selamat ditemui pada petang Sabtu.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Perak, Datuk Sayani Saidon berkata, mangsa ditemukan oleh seorang penduduk, Nazri a/l Bah Eng kira-kira 3 petang.

“Selepas menjumpai mangsa, dia telah memaklumkan perkara tersebut kepada anak saudaranya yang berada di Johor untuk membuat laporan kepada pihak berkuasa,” katanya.

Ujar Sayani, mangsa kini berada dalam keadaan selamat dan ditempatkan sementara di rumah Tok Batin Kampung Lubuk Gaharu.

Sebelum ini tular gambar dipercayai memaparkan Jaslinda berada di sebuah rumah komuniti di kawasan berkenaan.

Pendaki wanita itu dilaporkan bersama-sama 13 lagi individu dan dua Malim Gunung Perhutanan (MGP) memulakan pendakian Trans Spencer Chapman pada jam 2 pagi, 23 Mei melalui laluan Pos Gedung-Gunung Bah Gading-Gunung Batu Putih-Kuala Woh.

Jaslinda dan seorang lagi pendaki, Mohd Hanafi Neikmad, 41, mengalami masalah kesihatan dan berhenti mendaki, bagaimanapun eksekutif rantaian bekalan di sebuah syarikat swasta itu dilaporkan meneruskan perjalanan ke puncak gunung dan kali terakhir dilihat pada 24 Mei.

Scroll to Top