
Dr Muhamad Akmal mengulas kenyataan Dr Zaliha dalam satu majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya PH di Batu Pahat, Johor.
SHAH ALAM – Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh membidas kenyataan Pengerusi Majlis Pimpinan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Johor, Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa yang mengatakan RM90 juta bagi pelaksanaan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor patut digunakan untuk pembangunan rakyat.
Kata Dr Muhamad Akmal, pihaknya turut mempersoalkan tindakan pemimpin Pakatan Harapan (PH) yang enggan melaksanakan pilihan raya serentak ketika Perdana Menteri ke-9 membubarkan Parlimen pada 2022.
“Saya nak tanya kepada pemimpin PH, semasa Perdana Menteri ke-9 bubar Parlimen dahulu, tetapi kenapa kamu punya negeri tak nak bubarkan, itu tak membazir duit rakyat ke? Nak buat pilihan raya berasingan?
“Ketika kamu buat Langkah Kajang dan Langkah Port Dickson bila mana tak perlu pun buat pilihan raya, tetapi kamu nak buat pilihan raya kecil (PRK), tak menghabiskan duit rakyat ke?
“Jadi, kalau orang lain buat membazir, kamu boleh (buat). Maksudnya apa? Kamu hipokrit,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Sabtu.
Dr Muhamad Akmal berkata demikian mengulas kenyataan Dr Zaliha dalam satu majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya PH di Batu Pahat, Johor.
Ujar Dr Zaliha yang juga bekas Menteri Kesihatan, penggunaan wang sehingga RM90 juta demi pilihan raya dianggap membazir sedangkan ia lebih wajar digunakan untuk inisiatif pembangunan rakyat.



