Jaslinda makan tumbuhan liar, minum air embun untuk kelangsungan hidup

Jaslinda makan tumbuhan liar, minum air embun untuk kelangsungan hidup

TAPAH: Pendaki wanita Jaslinda Saludin, 49, yang hilang semasa mendaki Gunung Batu Putih di sini sejak dua minggu lalu yang dtemukan hari ini makan tumbuhan liar, minum air embun, sungai untuk kelangsungan hidup.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, semasa perbualan bersama Jaslinda, wanita itu memaklumkan pernah tiga hari tidak minum.

“Dia maklumkan pernah tiga hari tidak minum air dan cuma bertahan hidup dengan meminum air embun serta air sungai.

“Selain itu, dia juga makan tumbuhan liar dalam hutan,” katanya kepada pemberita di Unit Kecemasan dan Trauma, Hospital Tapah di sini hari ini.

Katanya lagi, Jaslinda berada dalam radius pencarian operasi mencari dan menyelamat (SAR) namun kerana tidak statik (berubah pergerakan) di sesuatu tempat ke tempat lain menyukarkan penemuannya.

“Jaslinda berpusing-pusing beberapa kali naik turun (bukit) pergi ke sungai. Dia seorang yang kuat dan tabah kerana berjaya mengharungi cabaran ini.

“Kita terharu dengan dia punya kekuatan kerana kawasan yang diharungi di Bukit Berapit dan Gunung Rayu. Mungkin ada perkara yang tak dapat dijelaskan seperti Jaslinda tidak mendengar bunyi helikopter dan sebagainya,” katanya.

Tambah beliau, Jaslinda turut menggunakan aliran sungai sebagai salah satu mekanisme untuk menyelamatkan diri.

“Dia sekadar ada kecederaan kecil kerana (digigit) unggas dan agas. Ada sedikit kecederaan di kepala.

“Dia (Jaslinda) terjatuh beberapa kali dimaklumkan di sungai sebanyak dua kali setinggi tiga hingga lima meter,” katanya.

Ujarnya, rawatan awal telah diberikan kepada Jaslinda di Kampung Lubuk Gaharu dekat Pos Musoh kira-kira pukul 8 malam tadi. – UTUSAN

Scroll to Top