England bermula hambar, Kane jadi penyelamat

England bermula hambar, Kane jadi penyelamat

Tampa, Amerika Syarikat: Jaringan antarabangsa ke-79 Harry Kane menghadiahkan kemenangan 1-0 buat England ke atas New Zealand dalam aksi persahabatan ketika persiapan menuju Piala Dunia bermula dengan persembahan kurang meyakinkan di bawah cuaca panas Florida, awal pagi tadi.

Kane menanduk masuk hantaran lintang Djed Spence pada masa kecederaan babak pertama ketika England terpaksa bekerja keras untuk menewaskan pasukan yang berada 81 anak tangga di bawah mereka dalam ranking dunia.

“Kami berada di sini untuk persiapan lebih daripada memikirkan keputusan perlawanan.

“Ini adalah tahap kecergasan terbaik sepanjang karier saya.

“Saya teruja dan tidak sabar untuk memulakan kempen itu,” kata Kane selepas meledak gol ke-67 musim ini bersama kelab dan negara.

New Zealand dibelasah Haiti 4-0 pada Rabu lalu, namun anak buah Thomas Tuchel mendapati peluang terbaik lebih sukar dicipta dalam pengalaman pertama mereka beraksi dalam keadaan cuaca mencabar di Amerika Syarikat.

Tuchel menurunkan kesebelasan utama yang berbeza bagi setiap babak, namun pemilihan pemain itu tidak banyak memberi petunjuk mengenai kesebelasan yang bakal diturunkan menjelang aksi pembukaan Piala Dunia menentang Croatia pada 17 Jun ini.

“Tenaga dan semangat pasukan berada pada tahap yang betul, manakala kualiti permainan akan menyusul.

“Semakin kuat lawan yang kami hadapi, semakin baik kami akan bermain,” kata Tuchel.

Kane membuka jaringan menerusi tandukan hasil hantaran lintang Spence yang menyerlah ketika beraksi di posisi bek kiri.

Ivan Toney menggantikan Kane selepas rehat dalam kalangan 11 pertukaran yang dilakukan Tuchel.

Toney menyangka berjaya menghadiahkan sepakan penalti buat England, namun New Zealand terselamat selepas penyerang Al Ahli itu dikesan berada dalam kedudukan ofsaid.

England menguasai sebahagian besar permainan tetapi gagal menambah jaringan dengan New Zealand lebih selesa mempertahankan keputusan agar tidak dibolosi lebih banyak gol.

Walaupun tidak memenangi kejohanan utama sejak 60 tahun lalu, England tetap hadir ke Piala Dunia sebagai antara pasukan pilihan selepas sekurang-kurangnya mara ke suku akhir dalam empat kejohanan terakhir.

England turut akan berdepan Ghana dan Panama dalam Kumpulan L.

New Zealand pula diundi bersama Iran, Belgium dan Mesir dalam Kumpulan G.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top