Trend teman berbayar kian popular di China

Trend teman berbayar kian popular di China

Beijing: Di tangga batu menuju Gunung Tai di China, salah satu puncak paling terkenal, pendaki boleh menempah dan membayar ‘rakan pendaki’ untuk menemani mereka berjalan, membawa beg dan mengambil gambar dengan bayaran beberapa ratus yuan.

Perkhidmatan yang semakin popular itu adalah sebahagian daripada ‘ekonomi teman’ yang lebih luas yang muncul di China, termasuk pasangan berbayar untuk berlari, bersiar-siar dan juga makan di restoran hotpot.

Penyedia perkhidmatan, selalunya pelajar atau pekerja gig muda, membuat iklan di media sosial dengan janji ‘nilai emosi’, perbualan dan bantuan praktikal, menjadikan pengalaman yang dahulunya dilakukan bersama rakan kini menjadi perkhidmatan yang boleh ditempah serta dibayar.

Difahamkan, walaupun tiada data rasmi mengenai saiz ekonomi teman ini, anggaran yang dipetik oleh media kerajaan menyatakan ia bernilai kira-kira 500 bilion yuan (kira-kira RM330 bilion) pada 2025.

Trend ini mencerminkan perubahan lebih luas dalam gaya hidup bandar dan ekonomi perkhidmatan di China, dengan peningkatan permintaan terhadap ‘penggunaan emosi’ dalam kalangan golongan muda yang tinggal dan bekerja jauh daripada rangkaian keluarga serta menghadapi waktu kerja lebih panjang.

Pengangguran belia yang berpanjangan di China turut menyumbang kepada peningkatan pergantungan terhadap kerja gig dan kerja fleksibel.

Ini berlaku apabila graduan atau pencari kerja beralih kepada penghantaran, e-hailing dan kerja platform dalam talian lain kerana ketiadaan pekerjaan stabil dengan lebih 200 juta pekerja fleksibel direkodkan.

Selepas meninggalkan tentera pada 2022, Chen Wenxin mengasaskan syarikat teman pendakian dengan fokus di wilayah Shandong.

“Saya seorang pendaki dan mempunyai banyak pengalaman mendaki.

“Saya menyedari permintaan yang meningkat dalam perkhidmatan pengiring pendakian, kemudian memutuskan untuk mencuba bidang ini,” katanya.

Pasukannya berkembang daripada kurang 10 pekerja kepada kini kira-kira 370 orang dengan caj 800 yuan (kira-kira RM528) untuk pendakian siang hari di Gunung Tai.

Dalam pada itu, ahli psikoterapi, Sami Wong berkata, daya tarikan rakan berbayar adalah berkaitan kepastian dan kawalan dalam persekitaran sosial yang boleh terasa berisiko tinggi serta mencetuskan kebimbangan.

Beliau berkata, bertemu orang memerlukan usaha emosi dan pelaburan, manakala hasilnya sangat tidak pasti serta perkhidmatan berbayar membantu pelanggan mengelakkan rasa penolakan.

“Apabila anda membayar untuk perkhidmatan ini, anda sentiasa mendapat ‘ya’,” kata Wong.

Sementara itu, Tang Junxing, 24, seorang pelajar di Guilin di selatan China berkata, dia memperoleh wang poket sebagai teman perjalanan.

Kerja sambilan itu bermula apabila seorang profesor universiti memintanya menjadi pemandunya untuk perjalanan jalan raya selama seminggu.

“Itulah ketika saya sedar anda sebenarnya boleh menjana wang dengan menemani orang dalam perjalanan dan memandu untuk mereka. Biasanya saya memperoleh 3,000 hingga 5,000 yuan (kira-kira RM1,980 hingga RM3,300) sebulan.

“Kebanyakan pelanggan saya adalah wanita dan keperluan utama mereka adalah nilai emosi, seseorang yang membuat mereska berasa baik dan menjadikan perjalanan itu mudah,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top