Mohd Zawawi perkukuh harapan emas Muay Thai Perlis

Mohd Zawawi perkukuh harapan emas Muay Thai Perlis
Mohd Zawawi perkukuh harapan emas Muay Thai Perlis

Persatuan Muaythai Sukma Negeri Perlis berharap dengan pelantikan Mohd Zawawi Awang Teh (belakang, dua dari kanan) sebagai penaung dan penasihat pasukan mampu membutirkan pingat di Sukma 2026.

KUALA LUMPUR – Persatuan Muaythai Negeri Perlis melantik tokoh Muay Thai Polis Diraja Malaysia (PDRM), Mohd Zawawi Awang Teh, sebagai penaung dan penasihat pasukan Muaythai negeri itu bagi menghadapi temasya Sukan Malaysia (Sukma) 2026 yang dijadual berlangsung di Selangor pada Ogos depan.

Watikah pelantikan tersebut diserahkan dalam Majlis Penyerahan Watikah Pelantikan Penaung dan Penasihat Persatuan Muaythai Sukma Negeri Perlis yang diadakan di Pusat Latihan Polis (Pulapol), Kuala Lumpur pada Sabtu.

Mohd Zawawi yang merupakan Presiden Kelab Muaythai/Tinju Sang Saka Biru turut dikenali sebagai pengurus dan jurulatih berpengalaman yang telah melahirkan ramai atlet tempur berbakat untuk pasukan PDRM serta mewakili negara di pelbagai kejohanan.

Beliau berkata, pelantikan itu merupakan satu amanah besar yang akan digalas sebaik mungkin demi membantu pembangunan Muay Thai Perlis menjelang Sukma 2026.

“Saya amat berbesar hati dan menghargai kepercayaan yang diberikan oleh Persatuan Muaythai Negeri Perlis. Pelantikan ini bukan sekadar satu penghormatan, tetapi tanggungjawab besar untuk membantu memperkukuhkan persiapan pasukan negeri menghadapi Sukma 2026.

“Fokus utama kita adalah memastikan atlet mendapat latihan berkualiti, pendedahan yang mencukupi serta sokongan berterusan agar mereka mampu bersaing secara kompetitif di peringkat tertinggi.

“Saya yakin dengan komitmen semua pihak termasuk persatuan, jurulatih dan atlet, Perlis mampu mencipta kejayaan yang membanggakan dalam temasya Sukma nanti,” katanya ketika ditemui selepas majlis tersebut.

wakil Presiden Muaythai Malaysia, Md. Farek Md. Urep (tiga, kanan) menyerahkan watikah pelantikan kepada Mohd Zawawi pada Sabtu.

wakil Presiden Muaythai Malaysia, Md. Farek Md. Urep (tiga, kanan) menyerahkan watikah pelantikan kepada Mohd Zawawi pada Sabtu.

Sementara itu, Persatuan Muaythai Negeri Perlis menyifatkan pelantikan Mohd Zawawi sebagai langkah strategik dalam usaha memperkasakan program pembangunan atlet dan memperkukuhkan pasukan negeri menjelang temasya berprestij itu.

Majlis berkenaan turut dihadiri wakil Presiden Muaythai Malaysia, Md. Farek Md. Urep, yang hadir mewakili badan induk sukan tersebut sempena penganjuran Kejohanan Muaythai Sang Saka Biru Vol. 2.

Persatuan itu percaya pengalaman luas Mohd Zawawi dalam bidang kejurulatihan, pengurusan pasukan serta pembangunan atlet di bawah PDRM akan menjadi aset penting dalam usaha melahirkan lebih ramai atlet Muay Thai berprestasi tinggi untuk negeri Perlis.

Mesti Baca

Scroll to Top