
Rakaman video yang dikeluarkan Itamar Ben-Gvir, menunjukkan aktivis flotila yang ditahan di Pelabuhan Ashdod pada 20 Mei 2026. Foto: Ben Gvir menerusi X
PARIS – Pihak pendakwa raya antiterorisme Perancis dilaporkan telah membuka siasatan awal berhubung dakwaan jenayah perang terhadap Israel, susulan layanan terhadap aktivis flotila bantuan Gaza yang ditahan oleh tentera Israel.
Siasatan itu dipercayai berpunca daripada satu video yang tular di media sosial memaparkan Menteri Keselamatan Negara Israel, Itamar Ben-Gvir, berada di Pelabuhan Ashdod ketika aktivis flotila ditahan dalam keadaan berlutut, tangan diikat dan kepala tunduk.
Rakaman berkenaan turut menunjukkan Ben-Gvir menyatakan ‘Selamat datang ke Israel, kami adalah tuan di rumah ini’, yang mencetuskan kecaman meluas di peringkat antarabangsa serta kritikan daripada pihak berkuasa Perancis.
Susulan itu, Pejabat Pendakwa Raya Antiterorisme Perancis memaklumkan siasatan dijalankan oleh unit khas yang memfokuskan jenayah terhadap kemanusiaan dan jenayah kebencian selepas menerima rujukan rasmi daripada Menteri Luar Perancis, Jean-Noël Barrot.
Difahamkan, laporan konsular turut dikemukakan kepada pihak pendakwa raya Perancis melibatkan dakwaan layanan buruk terhadap kira-kira 37 rakyat Perancis yang menyertai flotila berkenaan.
Aktivis daripada Global Sumud Flotilla mendakwa mereka mengalami penderaan fizikal, penghinaan, serta layanan tidak berperikemanusiaan selepas kapal mereka dipintas tentera laut Israel di perairan antarabangsa sebelum ditahan dan dihantar ke Penjara Ketziot.
Pihak Israel bagaimanapun menafikan semua dakwaan tersebut dan menyifatkannya sebagai tidak berasas serta sebahagian daripada kempen propaganda terhadap negara itu.
Mereka menegaskan bahawa semua tahanan dilayan mengikut prosedur dan undang-undang yang ditetapkan.
Siasatan yang masih di peringkat awal itu dijangka memberi kesan diplomatik antara Paris dan Tel Aviv, selain mencetuskan perdebatan antarabangsa berhubung layanan terhadap aktivis flotila tersebut. -Agensi



