
Puluhan bot nelayan musnah manakala dua orang cedera dalam kebakaran di sebuah pelabuhan utama di pantai Pasifik Ecuador.
RIO DE JANEIRO – Puluhan bot nelayan musnah manakala dua orang cedera dalam kebakaran di sebuah pelabuhan utama di pantai Pasifik Ecuador, menurut agensi pengurusan risiko negara itu pada Sabtu, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Punca kebakaran di pelabuhan Manta di wilayah Manabí itu belum dapat dipastikan.
Jabatan bomba berkata, saksi melaporkan kerja-kerja kimpalan sedang dijalankan pada sebuah bot sebelum kejadian itu. Siasatan kini sedang dijalankan.
Menurut pihak berkuasa, maklumat awal menunjukkan sekurang-kurangnya 35 bot terbakar di kawasan tambatan pelabuhan berkenaan.
Bot-bot itu terdiri daripada bot nelayan kecil dan sederhana yang diperbuat daripada bahan mudah terbakar seperti gentian kaca.
Sekretariat Nasional bagi Pengurusan Risiko memaklumkan kebakaran itu berjaya dikawal. – Bernama-dpa



