PRN Johor: DAP sasar tanding 17 kerusi

PRN Johor: DAP sasar tanding 17 kerusi

IPOH – DAP menyatakan hasrat untuk bertanding di 17 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor atas tiket Pakatan Harapan (PH) berbanding 14 kerusi yang ditandingi pada pilihan raya lalu.

Pengerusi DAP Johor, Teo Nie Ching berkata, hasrat tersebut bagaimanapun belum muktamad dan masih tertakluk kepada rundingan kerusi dalam kalangan parti-parti komponen PH.

Menurutnya, rundingan kerusi kini berada di peringkat akhir dan hanya melibatkan satu atau dua kerusi yang masih belum dimuktamadkan.

“Setakat ini DAP berhasrat untuk bertanding di 17 kerusi. Semua rundingan kerusi hampir selesai tetapi selagi dokumen belum ditandatangani semuanya belum muktamad.

“Persediaan dan kerja-kerja parti ketika ini juga memberi fokus kepada 17 kerusi tersebut,” katanya ketika ditemui di sini pada Ahad.

Dalam pada itu, Nie Ching berkata, rundingan kerusi dijangka dapat diselesaikan dalam tempoh seminggu atau dua minggu ini memandangkan tiada banyak pertikaian melibatkan DAP.

Beliau menjelaskan beberapa faktor utama diambil kira dalam menentukan agihan kerusi termasuk kekuatan jentera parti kesesuaian calon dan potensi kemenangan di sesuatu kawasan.

“Dalam rundingan kerusi, faktor jentera dan calon sering menjadi pertimbangan kerana setiap parti mempunyai kekuatan tersendiri di kawasan masing-masing.

“Pada masa sama, kita juga mahu memastikan agihan kerusi yang ditandingi dalam kalangan parti adalah seimbang memandangkan Johor mempunyai 56 kerusi DUN,” katanya.

Mengulas mengenai calon yang bakal diketengahkan, beliau mengesahkan senarai calon akan menampilkan muka baharu termasuk golongan muda dan wanita.

Bagaimanapun, katanya, jumlah atau peratusan calon baharu tidak dapat didedahkan kerana proses pemilihan calon belum dimuktamadkan.

“Senarai calon perlu mendapat persetujuan Jawatankuasa Five-Man Committee yang dibentuk oleh Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP.

“Walaupun saya Pengerusi Negeri Johor keputusan muktamad bukan di peringkat negeri. Sebab itu saya tidak boleh nyatakan peratusan calon baharu ketika ini,” katanya.

Ditanya mengenai calon pengganti bagi kerusi DUN Skudai susulan pengumuman pengunduran Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Skudai, Marina Ibrahim, Nie Ching hanya memaklumkan bahawa senarai calon akan dimuktamadkan dalam masa terdekat.

Pada PRN Johor 2022, PH memenangi 12 kerusi dari keseluruhan 56 kerusi DUN.

DAP memenangi 10 kerusi iaitu Jementah, Tangkak, Bentayan, Penggaram, Mengkibol, Johor Jaya, Stulang, Perling, Skudai, dan Senai.

Seterusnya, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Parti Amanah Negara (Amanah) masing-masing hanya berjaya memenangi satu kerusi di Bukit Batu dan Simpang Jeram.

Pada 1 Jun lalu, media melaporkan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi mengumumkan DUN Johor dibubarkan bagi memberi laluan kepada PRN ke-16.

Mengikut peruntukan undang-undang, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mempunyai tempoh sehingga 60 hari selepas pembubaran DUN untuk mengadakan PRN.

Pada PRN Johor ke-15 yang berlangsung pada Mac 2022, Barisan Nasional (BN) membentuk kerajaan negeri selepas memenangi 40 daripada 56 kerusi DUN yang dipertandingkan.

 

 

Mesti Baca

Scroll to Top