sukan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Atlet baling tukul besi negara, Saddat Marzuqi Ajisan tidak menyangka mampu melepasi sasaran yang ditetapkannya apabila melakukan lontaran sejauh 65.32 meter (m) untuk meraih pingat emas di Kejohanan Olahraga Terbuka New Taiwan, semalam.
Lontaran itu bukan sahaja menghadiahkan gelaran juara, malah turut memadam rekod peribadi (PB) miliknya iaitu 61.95m yang dicatatkan sebelum ini.
Pingat perak menjadi milik wakil Thailand, Kittipong Boonmawan menerusi catatan 60.83m, manakala gangsa diraih atlet tuan rumah, Yu Feng Chen yang merekodkan 55.33m.
Saddat mengakui dia tidak menjangkakan mampu mencatat balingan sejauh 65m kerana sasaran utamanya sebelum pertandingan hanyalah sekitar 63m.
“Alhamdulillah, pertama sekali saya bersyukur dengan keputusan yang dicatatkan hari ini. Sejujurnya, saya tidak sangka mampu melakukan balingan sejauh 65m kerana sasaran utama saya hanyalah sekitar 63m.
“Memang 65m ada dalam senarai sasaran saya tahun ini, dan hari ini (semalam) saya rasa badan berada dalam keadaan baik dan bersedia untuk melakukan balingan yang jauh dan Alhamdulillah saya berjaya melakukannya,” katanya.
Sementara itu, Jonah Chang Riang turut cemerlang meraih emas dalam acara lontar peluru apabila melakukan balingan sejauh 18.24m.
Jarak itu jauh meninggalkan peserta lain apabila wakil tuan rumah, Hao-Wei Ma memenangi perak dengan catatan 17.66m, manakala Eakkarin Boonlap pula berpuas hati di tempat ketiga menerusi balingan 17.47m.
© New Straits Times Press (M) Bhd




