
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bergambar bersama para pelajar pada Majlis Serahan Pemberian Geran Kerajaan Tahunan kepada AIMST Universiti di Bedong dekat sini hari ini. – Bernama
SUNGAI PETANI – Rakyat diingatkan agar tidak terperangkap dalam politik kebencian mahupun sentimen perkauman dalam konteks politik di Johor dan Negeri Sembilan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan demokrasi bukanlah mengenai siapa menang atau kalah sebaliknya memastikan nilai keadilan dan kesaksamaan terus dipertahankan.
Menurutnya, tokoh pemikir dan negarawan India, B R Ambedkar, sering menekankan bahawa tuntutan utama dalam sesebuah masyarakat demokratik ialah keadilan dan kesaksamaan.
“Sekarang ini orang bercakap soal demokrasi di Johor, Negeri Sembilan. Siapa menang, siapa rebut kuasa, siapa kuat memaki hamun, siapa main api perkauman, siapa menanam kebencian, siapa yang kata kononnya darjat kami majoriti atau kami kaum minoriti.
“Tetapi Ambedkar berpesan bahawa perkara yang harus dituntut ialah keadilan dan kesaksamaan kerana melihat bukan sahaja dari segi mata, tapi mata hati atau istilahnya ‘the dictates of the heart,” katanya ketika hadir menyampaikan Geran Tahunan Kerajaan kepada University Aimst di sini pada Ahad.
Anwar berkata, pesanan Ambedkar turut menerapkan nilai kemanusiaan yang perlu menjadi asas dalam kehidupan dan pentadbiran sesebuah negara.
Katanya, seseorang tidak seharusnya dihina hanya kerana warna kulit, kepercayaan agama atau kedudukan sosial yang berbeza.
“Jangan hina orang kerana warna kulitnya, jangan hina orang kerana perbezaan kepercayaannya. Jangan hina orang kerana darjatnya, kamu anak orang besar, bangsawan, dengan orang yang di kampung yang miskin dan pakai pakaian robek,” ujarnya.



