bisnes@hmetro.com.my
Johor Bahru: Sebanyak RM121 juta pembiayaan disalurkan Bank Rakyat kepada 150 usahawan di negeri ini dalam tempoh empat bulan pertama tahun ini.
Ia bertujuan bagi memperkukuh daya tahan serta pertumbuhan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) di Johor.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Steven Sim Chee Keong berkata, jumlah itu membuktikan permintaan terhadap pembiayaan perniagaan kekal tinggi ketika PMKS berdepan peningkatan kos operasi dan ketidaktentuan ekonomi global.
Beliau berkata, usahawan hari ini bukan sekadar memerlukan modal, malah memerlukan bimbingan, akses pasaran, jaringan perniagaan dan sokongan berterusan untuk berkembang lebih mampan serta berdaya saing.
“Bank Rakyat membuktikan institusi kewangan boleh memainkan peranan lebih besar sebagai pemudah cara pertumbuhan dan pemangkin kejayaan usahawan,” katanya ketika ditemui selepas mengadakan Lawatan Kerja Rasmi ke Cawangan Bank Rakyat dan Pusat Perbankan Perniagaan Bank Rakyat di sini, hari ini.
Pada lawatan sempena Karnival Hebatkan Perniagaan Malaysia (HPM) 2026 di Angsana Mall Johor Bahru itu, Sim turut menyampaikan pembiayaan keseluruhan bernilai RM1.53 juta kepada tiga usahawan Johor.
Penerima terbabit adalah Diesel Truck Sdn Bhd yang menerima RM1 juta melalui BR Prosper-i; Stesen Minyak Perintis (RM500,000 melalui BRPlus-i) dan Ho Jin Yuan (RM25,000 melalui BRJohorNiaga).
Menurutnya, pembiayaan itu akan membantu usahawan meningkatkan kapasiti operasi, meneroka pasaran baharu, mewujudkan peluang pekerjaan dan menyumbang kepada ekonomi setempat.
Selain itu, Karnival HPM 2026 yang berlangsung dari Jumaat lalu hingga semalam menghimpunkan pelbagai inisiatif termasuk latihan keusahawanan, sesi padan niaga, akses pembiayaan dan promosi produk tempatan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




