Tijuana: Ketegangan politik antara Iran dan Amerika Syarikat (AS) terus membayangi kempen Piala Dunia 2026 apabila skuad kebangsaan Iran terpaksa menjadikan Mexico sebagai kem pusat selepas berdepan ketidakpastian berhubung urusan visa memasuki negara itu.
Pasukan Iran tiba di Tijuana, Mexico awal pagi tadi selepas menjalani kem latihan selama tiga minggu di Turkiye sebagai persiapan menghadapi saingan Kumpulan G.
Menurut Persekutuan Bolasepak Iran, keputusan memindahkan kem latihan dari Arizona ke Mexico dibuat pada saat akhir susulan kebimbangan sama ada pemain dan pegawai pasukan akan diberikan kebenaran memasuki AS.
Walaupun semua pemain akhirnya menerima visa pada Jumaat lalu, hanya 10 hari sebelum perlawanan pertama Piala Dunia, beberapa anggota penting pasukan sokongan dilaporkan gagal memperoleh visa.
Antara yang tidak menerima kelulusan ialah beberapa pegawai pengurusan dan pentadbiran yang memainkan peranan penting dalam operasi harian pasukan.
Situasi itu mencetuskan cabaran tambahan buat Iran yang kini perlu berulang-alik dari Mexico ke AS untuk menghadapi aksi peringkat kumpulan.
Perkembangan berkenaan turut menyerlahkan bagaimana ketegangan diplomatik yang berpanjangan antara kedua-dua negara kini secara tidak langsung memberi kesan kepada persiapan sukan terbesar dunia itu.
Iran dijadual membuka kempen Kumpulan G menentang New Zealand pada 16 Jun sebelum berdepan Belgium pada 22 Jun di kawasan Los Angeles.
Mereka kemudian akan menamatkan saingan peringkat kumpulan dengan menentang Mesir di Seattle pada 27 Jun.
Dalam suasana hubungan Tehran-Washington yang masih tegang, kehadiran Iran di AS untuk Piala Dunia kali ini dilihat bukan sekadar cabaran di atas padang, malah turut membawa dimensi diplomatik yang mendapat perhatian masyarakat antarabangsa.
© New Straits Times Press (M) Bhd




