Tali air gagal diselenggara

Tali air gagal diselenggara

am@hmetro.com.my

Pasir Puteh: Longkang dan tali air didakwa tidak diselenggara dengan baik dipercayai menjadi punca penduduk Kampung Dalam Rhu serta kawasan sekitar terus berdepan masalah banjir yang berulang hampir setiap tahun.

Penduduk mendakwa banjir berlaku kerana dua sistem perparitan di jalan utama sempadan Kelantan-Kuala Besut, Terengganu ke Sungai Semerak sepanjang tiga kilometer tidak diselenggara dengan baik sejak 1998.

Penghulu Mukim Dalam Rhu, Azmi Jaafar berkata, keadaan terbabit sebabkan kawasan parit dan longkang tertimbus sebabkan air tidak mengalir keluar.

Katanya, pada musim tengkujuh, kawasan berkenaan akan dilanda banjir termenung dan limpahan hingga boleh memasuki rumah penduduk sekiranya hujan berterusan.

“Setiap tahun kita bawa masalah ini kepada pihak berkaitan. Jika tidak dicuci atau diselenggara kita bimbang, lebih ramai penduduk akan menjadi mangsa banjir,” katanya.

Azmi berkata, selain masalah sistem perparitan, banjir didakwa berlaku kerana tali air seliaan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) penuh sampah dan ditutupi pokok keladi.

“Setiap kali banjir lebih 30 keluarga (tinggal berdekatan tali air) dengan hampir 100 mangsa banjir terpaksa berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Dalam Rhu.

“Jika tali air selalu dicuci mungkin mangsa banjir tak seramai itu,” katanya.

Penduduk kampung, Ismail Jamal, 70, berkata, setiap kali banjir, kediamannya dinaiki air lebih satu meter dan terkepung.

Dia menggesa penyelesaian jangka panjang daripada pihak berkuasa kerana derita ditanggung setiap kali banjir terutama pada musim tengkujuh amat memeritkan.

“Kalau sehari hujan tanpa henti, kawasan rumah akan digenangi air dan keadaan semakin teruk sejak empat tahun kebelakangan ini,” katanya.

Ikuti penjelasan pihak berkuasa berhubung isu ini dalam terbitan Harian Metro esok.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top