Noh Omar pertahan pendirian UMNO Johor, jawab kenyataan Anthony Loke

Noh Omar pertahan pendirian UMNO Johor, jawab kenyataan Anthony Loke
Noh Omar pertahan pendirian UMNO Johor, jawab kenyataan Anthony Loke

Noh Omar

SHAH ALAM – Bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Tan Sri Noh Omar tampil mempertahankan pendirian UMNO Johor dengan menegaskan bahawa parti-parti yang berada dalam kerajaan tetap boleh bertanding antara satu sama lain dalam pilihan raya tanpa menjejaskan urusan pentadbiran negara.

Beliau berkata, situasi seumpama itu pernah berlaku sebelum ini apabila parti-parti yang berada dalam kerajaan yang sama tetap bertanding sesama sendiri dalam PIlihan Raya Negeri (PRN).

“YB Anthony Loke, ini bukan suatu yang pelik. Kenyataan YB ini menunjukkan YB kurang pengalaman sebagai Menteri.

“Saya dah lalui perkara ini semasa Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan PRN Johor yang lepas. UMNO, Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) duduk sebelah-menyebelah semasa mesyuarat Kabinet tetapi kami bertanding melawan antara satu sama lain di Melaka dan Johor,” katanya menerusi satu hantaran di Instagram.

Pada Ahad, Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke dilaporkan membidas kenyataan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi yang sanggup melepaskan jawatan Menteri Besar daripada bekerjasama dengan DAP.

Sebelum ini, Onn Hafiz menolak untuk kerjasama dengan DAP dan sanggup melepaskan jawatan Menteri Besar sekiranya keadaan itu berlaku selepas PRN Johor.

Noh yang juga pernah memegang beberapa jawatan penting dalam Kabinet termasuk Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi; Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani serta Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan berkata, pengalaman beliau ketika menerajui kementerian turut membuktikan bahawa perbezaan politik tidak menghalang urusan pentadbiran kerajaan.

“Begitu juga di kementerian. Semasa mesyuarat pasca-Kabinet, saya Menteri daripada UMNO dan Timbalan saya daripada Bersatu tapi kami masih boleh bermesyuarat bersama,” jelasnya lagi.

Dalam pada itu, Noh mengingatkan semua pihak supaya membezakan antara urusan pentadbiran kerajaan dan kempen politik.

“Berkempen tak salah, tetapi mana-mana Menteri jangan gunakan jentera kerajaan untuk berkempen,” tegas beliau.

Scroll to Top