SOALAN:
Arwah bapa saya merupakan seorang peneroka Felda dan meninggalkan sebidang tanah rancangan Felda tanpa membuat wasiat atau sebarang perancangan harta. Arwah mempunyai dua orang anak kandung iaitu saya sebagai anak lelaki dan seorang adik perempuan serta seorang anak angkat yang tidak didaftarkan secara rasmi.
Selepas kematian arwah, saya telah dilantik sebagai pentadbir harta pusaka tersebut. Baru-baru ini, adik perempuan saya pula meninggal dunia dan anak-anaknya datang menuntut bahagian yang dikatakan menjadi hak arwah ibu mereka dalam harta pusaka datuk mereka.
Persoalan saya, bagaimana pembahagian harta tersebut dibuat mengikut faraid? Adakah bahagian arwah adik perempuan saya boleh diwarisi oleh anak-anaknya? Selain itu, adakah anak angkat mempunyai sebarang hak terhadap tanah Felda dan hasil pendapatan yang diperoleh daripada tanah tersebut?
Jawapan:
Persoalan yang dibangkitkan ini merupakan antara isu yang sering menimbulkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat, khususnya apabila berlaku kematian waris sebelum proses pembahagian pusaka selesai dilaksanakan.
Tidak kurang juga yang beranggapan bahawa apabila seseorang waris meninggal dunia sebelum menerima bahagiannya secara fizikal, maka hak tersebut akan terbatal atau kembali kepada waris lain. Hakikatnya, tanggapan tersebut adalah tidak tepat.
Prinsip asas yang perlu difahami ialah hak seseorang waris terhadap harta pusaka ditentukan pada saat kematian si mati.
Dalam kes ini, sebaik sahaja bapa meninggal dunia, hak waris-waris yang layak telah pun wujud menurut hukum syarak walaupun proses pentadbiran dan pembahagian belum diselesaikan.
Berdasarkan maklumat yang diberikan, arwah bapa meninggalkan dua orang anak kandung iaitu seorang anak lelaki dan seorang anak perempuan.
Sekiranya tiada waris lain yang berhak seperti isteri, ibu atau bapa yang masih hidup ketika itu, maka kedua-dua anak tersebut berhak menerima pusaka mengikut kadar faraid dengan nisbah dua bahagian kepada anak lelaki dan satu bahagian kepada anak perempuan.
Dalam erti kata lain, bahagian anak perempuan telah menjadi hak miliknya sebaik sahaja bapanya meninggal dunia.
Oleh sebab itu, apabila beliau meninggal dunia selepas kematian bapanya, hak tersebut tidak hilang dan tidak luput. Sebaliknya, bahagian yang sepatutnya diterima oleh beliau akan menjadi sebahagian daripada harta pusakanya sendiri.
Dalam ilmu faraid, situasi ini dikenali sebagai munasakhah, iaitu keadaan yang melibatkan pewarisan berlapis apabila seorang waris meninggal dunia sebelum harta pusaka yang menjadi haknya sempat diagihkan.
Dalam keadaan ini, proses pembahagian pusaka perlu dilaksanakan secara berperingkat bagi memastikan hak setiap waris dapat ditentukan dan diagihkan mengikut hukum syarak.
Jadi, sebaik sahaja bapa meninggal dunia, hak pewarisan telah pun wujud kepada kedua-dua anaknya mengikut ketetapan faraid, iaitu anak lelaki menerima dua bahagian manakala anak perempuan menerima satu bahagian.
Justeru, bahagian yang diperuntukkan kepada anak perempuan telah menjadi hak miliknya walaupun proses pentadbiran dan pembahagian pusaka belum disempurnakan.
Oleh itu, apabila beliau meninggal dunia, hak tersebut tidak terhapus atau luput, sebaliknya menjadi sebahagian daripada harta pusakanya sendiri yang perlu diagihkan pula kepada waris-warisnya yang layak mengikut hukum faraid.
Justeru, anak-anak arwah adik perempuan mempunyai asas tuntutan terhadap bahagian yang pernah menjadi hak ibu mereka.
Namun, mereka bukan menerima bahagian tersebut secara langsung sebagai waris kepada datuk mereka. Sebaliknya, mereka menerimanya melalui pusaka ibu mereka setelah bahagian ibu mereka dikenal pasti dan ditentukan terlebih dahulu.
Perkara ini penting kerana kegagalan mengambil kira hak waris yang meninggal dunia selepas si mati asal boleh menyebabkan pengagihan pusaka tidak menepati hukum faraid serta menimbulkan pertikaian keluarga.
Anak angkat bukan waris faraid
Berhubung kedudukan anak angkat pula, hukum syarak telah menetapkan bahawa anak angkat tidak termasuk dalam kategori waris faraid.
Walaupun seseorang anak angkat dibesarkan sejak kecil, dijaga dengan penuh kasih sayang dan dianggap seperti anak sendiri, hubungan tersebut tidak mewujudkan hak pewarisan secara automatik.
Oleh itu, anak angkat tidak berhak menuntut bahagian daripada harta pusaka arwah bapa melalui faraid. Kedudukannya berbeza dengan anak kandung yang mempunyai hubungan nasab yang diiktiraf oleh syarak.
Namun, ini tidak bermaksud Islam menafikan kebajikan anak angkat. Seseorang boleh merancang pemberian harta kepada anak angkat melalui hibah atau wasiat mengikut syarat ditetapkan.
Bagaimanapun, berdasarkan fakta, arwah bapa tidak meninggalkan sebarang wasiat atau perancangan harta untuk anak angkat tersebut.
Sebagai pentadbir harta pusaka, tanggungjawab saudara bukan sekadar menguruskan aset atau menerima hasil pendapatan daripada harta pusaka.
Pentadbir sebenarnya memegang amanah yang besar untuk memastikan hak semua waris dipelihara dan diagihkan mengikut ketetapan syarak serta peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.
Segala hasil atau pendapatan yang diperoleh daripada harta pusaka selepas kematian si mati juga perlu direkodkan dan diuruskan secara telus.
Pentadbir hendaklah memastikan hasil tersebut tidak digunakan sesuka hati tanpa persetujuan atau tanpa mengambil kira kepentingan waris-waris yang berhak.
Rekod pengurusan, perbelanjaan dan pendapatan sebaik-baiknya disimpan dengan lengkap bagi mengelakkan sebarang pertikaian pada masa hadapan
Kenal pasti waris
Sekiranya berlaku kematian salah seorang waris sebelum proses pembahagian selesai, pentadbir juga perlu mendapatkan nasihat yang sewajarnya bagi mengenal pasti waris-waris baharu yang berhak menerima bahagian tersebut.
Dalam kes ini, waris kepada arwah adik perempuan perlu dikenal pasti terlebih dahulu sebelum bahagiannya dapat diagihkan mengikut hukum faraid.
Selaku pentadbir, kita tidak boleh membuat keputusan sendiri berdasarkan persepsi bahawa seseorang waris sudah meninggal dunia lalu haknya dianggap terbatal.
Prinsip faraid menetapkan bahawa hak yang telah wujud tidak terhapus walaupun waris meninggal dunia sebelum sempat menerima bahagiannya.
Ilmu pewarisan bukan sekadar pembahagian harta tetapi juga pemeliharaan hak waris yang ditetapkan syarak. Kegagalan memahaminya sering mencetuskan pertelingkahan keluarga dan melambatkan urusan pentadbiran pusaka bertahun-tahun.
Kesimpulannya,bahagian arwah adik perempuan tidak luput walaupun beliau meninggal dunia selepas bapanya, sebaliknya menjadi haknya dan perlu diagihkan kepada waris-warisnya mengikut hukum faraid
Anak angkat pula tidak mempunyai hak pusaka secara faraid kecuali jika terdapat hibah atau wasiat yang sah semasa hayat si mati. Oleh itu, pentadbir perlu memastikan pematuhan hukum syarak, ketelusan dan keadilan dalam pengurusan harta bagi mengelakkan pertikaian pada masa hadapan.
*Dr Anne Ismail ialah Pengasas Pennawaris Sdn Bhd Ikon Perancangan Harta & Pengurusan Pusaka Malaysia – BISA Award 2026



