Suria KLCC terus jadi tumpuan pelancong menerusi acara bertaraf antarabangsa

Suria KLCC terus jadi tumpuan pelancong menerusi acara bertaraf antarabangsa

kartika@mediaprima.com.my

Kuala Lumpur: Suria KLCC terus mengukuhkan kedudukannya sebagai antara destinasi pelancongan dan gaya hidup utama negara menerusi penganjuran pelbagai acara bertaraf antarabangsa yang bukan sahaja menarik pengunjung tempatan, malah pelancong dari seluruh dunia.

Terbaharu, pusat beli-belah ikonik itu dengan kerjasama LEGO Malaysia menganjurkan Suria KLCC x LEGO Play Run 2026, pada Sabtu lalu, iaitu acara larian keluarga sejauh dua kilometer yang julung kali diadakan di Asia Tenggara, sempena LEGO MY Play Festival 2026.

Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Eksekutif Suria KLCC Sdn Bhd, Francis Tan berkata, pihaknya sentiasa berusaha membawa pengalaman baharu kepada pengunjung melalui kerjasama strategik dengan jenama global yang mempunyai daya tarikan merentasi pelbagai peringkat umur.

Katanya, penganjuran acara seperti LEGO Play Run 2026 bukan sekadar memberi pengalaman hiburan kepada pengunjung, malah berperanan mengukuhkan lagi kedudukan Kuala Lumpur sebagai destinasi pelancongan keluarga serantau.

“LEGO mempunyai kelompok peminat yang sangat besar di Malaysia dan seluruh dunia, menariknya ia bukan hanya diminati kanak-kanak, malah orang dewasa juga.

“Kami mahu melihat lebih banyak keluarga meluangkan masa bersama melalui aktiviti fizikal dan kreatif berbanding hanya bergantung kepada peranti digital,” katanya kepada Bisnes Metro di sini, baru-baru ini.

Acara Play Run 2026 menjadi kemuncak kepada LEGO MY Play Festival yang berlangsung dari 21 Mei hingga 7 Jun lalu, menampilkan pelbagai zon interaktif termasuk LEGO City, LEGO Friends, LEGO Ninjago dan LEGO Creator.

Pengunjung turut berpeluang menikmati pengalaman bola sepak berinspirasikan Piala Dunia FIFA 2026 menerusi pelbagai aktiviti interaktif yang disediakan di kawasan Taman KLCC.

Francis berkata, usaha memperkenalkan acara berskala besar itu turut menyumbang kepada peningkatan kehadiran pelancong di Suria KLCC.

Menurutnya, peratusan pelancong asing yang mengunjungi Suria KLCC kini meningkat kepada kira-kira 23 peratus daripada keseluruhan trafik pengunjung, berbanding sekitar 20 peratus sebelum ini.

“Kami melihat peningkatan kehadiran pelancong dari pelbagai negara dan ini memberi kesan positif kepada keseluruhan ekosistem peruncitan serta pelancongan di kawasan KLCC.

“Walaupun pelanggan tempatan kekal menjadi sasaran utama kami, pertambahan pelancong memberikan nilai tambah yang penting kepada pertumbuhan perniagaan di sini,” katanya.

Selain acara bertemakan LEGO, Suria KLCC turut meneruskan inisiatif kesejahteraan komuniti menerusi program Safe Space yang dijalankan bersama beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi meningkatkan kesedaran mengenai kesihatan mental.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top