Tak mampu beri komitmen 100 peratus, Edika Yusof enggan poligami

Tak mampu beri komitmen 100 peratus, Edika Yusof enggan poligami

syafil.syazwan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur : Pelakon, Edika Yusof cuba untuk mengelakkan berlakunya poligami dalam rumah tangganya kerana percaya, tidak dapat memberikan 100 peratus komitmen sebagai suami.

Menerusi audio siar Too Pretty To Handle Podcast, Edika, 59, berkata, dia juga meluahkan pendapat itu selepas melihat sendiri pengalaman lalu.

“Semuanya takdir tapi kita cuba elakkan sebab dah pernah jadi kepada emak-emak kita nampak bagaimana mereka menderita.

“Kepada orang yang bertanggungjawab atau tidak, tetap tidak dapat berikan 100 peratus,” katanya.

Sementara itu, isterinya, Norhidayah Yusri yang turut muncul dalam audio siar itu berkongsi cabaran dalam rumah tangga mereka lebih-lebih lagi bagi dirinya yang kurang upaya.

“Wanita dalam perkahwinan, sedangkan wanita yang normal, sihat walafiat, bukan senang nak kekalkan rumah tangga itu.

“Inikan lagi saya yang tiga suku badan (lumpuh) dan bersuamikan Edika Yusof. Ingat senang nak jaga Edika Yusof?

“Cabaran datang dari semua sudut itu memang ada. Tapi, bagaimana kita menguruskannya,” katanya.

Terdahulu, Edika dan Nor Hidayah bercerai talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pada 5 Mei 2025, selepas wanita itu memfailkan cerai di mahkamah pada pertengahan Februari 2025 kerana sudah tiada persefahaman, namun kembali rujuk ketika masih dalam idah.

Pasangan Edika dan Nor Hidayah yang berkahwin pada 2003 pernah menjadi perhatian ramai apabila pelakon filem Maria Mariana itu sanggup berkorban dan setia menjaga isterinya yang lumpuh separuh badan selama 20 tahun selepas melahirkan anak kedua mereka.

Hasil perkongsian hidup itu, Edika dan Nor Hidayah dikurniakan sepasang cahaya mata iaitu Fardeen Nasrulhaq, 22 dan Fereena Nurulhaq, 21, selain Edika juga mempunyai dua anak tiri daripada perkahwinan pertama Nor Hidayah.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top