Etika kerjasama Pas meragukan – Khairuddin Takiri

Etika kerjasama Pas meragukan – Khairuddin Takiri

PETALING JAYA: Etika kerjasama yang ditunjukkan Pas amat meragukan apabila mereka sekali lagi menghulurkan tangan untuk menghidupkan semula Muafakat Nasional (MN) dengan UMNO.

Timbalan Pengerusi Majlis Ulama UMNO, Datuk Dr. Khairuddin Takiri berkata, walaupun Pas menawarkan kerjasama dengan UMNO, namun pelbagai tohmahan masih dibangkitkan dan dilontarkan.

Katanya, kredibiliti Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi juga masih menjadi pertaruhan.

“Malah kata-kata di belakang tabir ialah mahukan kerjasama Pas-UMNO tanpa Presiden UMNO. Ini samalah mahukan ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) tanpa Presiden Bersatu. Apa jaminan tiada pengkhianatan berulang?,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Khairuddin yang juga bekas pemimpin Pas berkata, beliau menyokong kerjasama antara Pas dan UMNO, bahkan itulah yang diperjuangkannya sebelum mengambil keputusan meninggalkan parti itu.

Katanya, beliau tidak bersetuju dengan cara pengurusan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang dipengaruhi oleh beberapa individu sehingga didakwa melanggar tatacara dan perlembagaan parti.

“Namun, dengan etika semasa yang dipamerkan oleh Pas menimbulkan keraguan terhadap masa depan kerjasama.

“Bagaimana dapat dipercayai Pas untuk kembali bekerjasama jika rakyat Malaysia dengan jelas melihat bagaimana rapuhnya hubungan antara Pas dan Bersatu yang hanya mampu bekerjasama selama lima tahun sahaja.

“Kalau dulu di saat hubungan baik, pelbagai pujian dilambung tetapi apabila bercerai pelbagai kejian dilontarkan. Ini bukan akhlak Islam,” katanya.

Beliau berpandangan, hubungan kerjasama UMNO dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Parti Amanah Negara (Amanah) ketika ini adalah formula terbaik untuk UMNO bangkit kerana tawaran Pas sangat meragukan.

“Jika modal perpaduan Islam Melayu menjadi jualan maka apa erti perpaduan Melayu dalam situasi Bersatu baru sahaja diceraikan? Perpaduan Melayu Islam hanyalah slogan kosong demi politik semata-mata.

“Namun, halangan kepada kerjasama PKR dan Amanah adalah tindak tanduk DAP yang sangat merimaskan dan tidak mesra Melayu dan Islam. Saya istiqamah dengan pandangan saya terhadap DAP yang tidak berubah sejak dulu,” katanya. – UTUSAN

Scroll to Top