
Dari kiri; Ketua Pegawai Eksekutif BIMB Investment, Amran Zaki Mohd Nasir; Ketua Pegawai Perniagaan Kumpulan Perbankan Institusi Bank Islam, Sharifah Sarah Syed Mohamed Tahir; Ketua Pegawai Perniagaan Kumpulan – Perbankan Runcit Bank Islam, Mizan Masram dan Pegawai Perbendaharaan Kumpulan, Perbendaharaan dan Pasaran Kumpulan, Bank Islam, Azdini Nor Azman ketika gimik pelancaran BOF di sebuah hotel di Kuala Lumpur pada Isnin.
BIMB Investment Management Berhad (BIMB Investment), anak syarikat Bank Islam Malaysia Berhad (Bank Islam), memperkenalkan BIMB Opportunities Fund (BOF), satu strategi patuh syariah direka untuk membuka potensi pertumbuhan syarikat bermodal kecil dan menjana peningkatan modal jangka sederhana hingga panjang.
Dana ini akan melabur minimum 70 peratus daripada nilai aset bersihnya dalam sekuriti ekuiti patuh syariah dan atau sekuriti berkaitan ekuiti serta sekurang-kurangnya 1 peratus daripada nilai aset bersih yang dimiliki dalam bentuk tunai dan deposit Islam.
Ketua Pegawai Perniagaan Kumpulan Perbankan Institusi Bank Islam, Sharifah Sarah Syed Mohamed Tahir berkata, pelancaran dana ini mengukuhkan komitmen syarikat dalam menyediakan peluang penciptaan kekayaan mampan serta memperkukuhkan penawaran pelaburan runcit menerusi penyelesaian yang berbeza dan berteraskan nilai kepada pelabur.
“Dalam persekitaran pasaran tidak menentu ketika ini, Bank Islam melihat kepentingan yang semakin meningkat untuk mempelbagaikan pelaburan melangkaui instrumen tradisional.
“Ekuiti syarikat bermodal kecil menawarkan akses kepada peluang pertumbuhan baharu yang sering kurang diberi perhatian, di samping meningkatkan daya tahan portfolio menerusi pemacu prestasi yang berbeza,” katanya pada majlis pelancaran BOF pada Isnin.
Turut hadir Pengerusi BIMB Investment, Datin Maznah Mahbob; Ketua Pegawai Perniagaan Kumpulan – Perbankan Runcit Bank Islam, Mizan Masram dan Ketua Pegawai Eksekutif BIMB Investment, Amran Zaki Mohd Nasir.
Ujar Sharifah Sarah, BOF mencerminkan komitmen Bank Islam dalam menyediakan penyelesaian patuh syariah yang pelbagai dan mengimbangi potensi pertumbuhan dengan pengurusan risiko berhemat, sekali gus membolehkan pelabur membina nilai jangka panjang yang mampan.
Tambahnya, BOF menggunakan strategi pelaburan yang diurus secara aktif dengan mengintegrasikan pendekatan atas ke bawah dan bawah ke atas.
Pada peringkat makroekonomi, dana ini menilai petunjuk ekonomi utama seperti pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), kadar faedah, inflasi, pergerakan mata wang dan dasar kerajaan di Malaysia serta pasaran global utama.
“Pada peringkat mikroekonomi pula, dana ini memberi tumpuan kepada syarikat bermodal kecil, khususnya perniagaan sedang berkembang dan mempunyai potensi pertumbuhan kukuh, model perniagaan berskala serta pihak pengurusan yang aktif walaupun mungkin mempunyai rekod prestasi atau liputan penganalisis terhad,” katanya.



