New York: Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump menerima sambutan dingin di kampung halamannya apabila diejek oleh sebahagian penyokong ketika menghadiri aksi Final NBA di Madison Square Garden, semalam.
Penyokong yang memenuhi arena menyorak dan mencemuh pemimpin Republikan itu apabila wajahnya dipaparkan di skrin gergasi semasa nyanyian lagu kebangsaan Amerika Syarikat. Trump menyaksikan perlawanan tersebut dari sebuah suite eksekutif.
Kehadiran beliau menyebabkan langkah keselamatan diperketatkan secara luar biasa di arena bersejarah New York itu. Pihak berkuasa menghalang individu tanpa tiket daripada menghampiri kawasan beberapa blok di sekitar Madison Square Garden.
Malah, acara tontonan awam di luar arena Manhattan turut dilarang, berbeza dengan dua perlawanan playoff terdahulu antara New York Knicks dan San Antonio Spurs yang menarik kehadiran ramai peminat.
Pemegang tiket diminta hadir sekurang-kurangnya dua jam lebih awal bagi melalui pemeriksaan keselamatan ala lapangan terbang, manakala beg tidak dibenarkan dibawa masuk.
“Pesanannya mudah: raikan Knicks, tetapi elakkan kawasan MSG malam ini jika anda tidak mempunyai tiket,” kata Pesuruhjaya Polis New York, Jessica Tisch.
Dalam perlawanan itu, Spurs menewaskan Knicks 115-111 untuk merapatkan jurang kepada 2-1 dalam siri final NBA yang dimainkan secara terbaik daripada tujuh perlawanan.
Menjelang perlawanan, wartawan AFP melihat pagar setinggi kira-kira tiga meter dipasang di sekitar beberapa bahagian Madison Square Garden, selain kehadiran besar anggota Perkhidmatan Risikan Amerika Syarikat yang bertanggungjawab melindungi presiden AS.
Ejen-ejen tersebut sebahagiannya bersenjata berat, dibantu ratusan anggota polis New York ketika orang ramai berkumpul di sekitar arena dan kawasan tontonan awam lain di bandar itu.
© New Straits Times Press (M) Bhd




