TOKYO – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa syarikat Jepun untuk terus memperluas pelaburan mereka di Malaysia terutamanya dalam sektor teknologi tinggi seperti semikonduktor, kecerdasan buatan (AI), pengkomputeran kuantum dan industri digital.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, Malaysia telah berkembang daripada ekonomi berasaskan getah dan timah kepada minyak serta gas selain sedang memperkukuh kedudukannya sebagai hab serantau untuk industri elektrik dan elektronik (E&E) serta semikonduktor.
“Kami telah menjadi hab semikonduktor di rantau ini dan sektor itu berkembang dengan amat pesat. Kita telah menyaksikan eksport yang sangat besar daripada sektor E&E.
“Saya percaya ramai daripada anda, mungkin tujuh atau lapan syarikat turut terlibat dalam bidang pengkomputeran kripto,” kata beliau dalam ucapan pembukaan pada sesi meja bulat bersama 29 tokoh perniagaan terpilih dari Jepun di sini pada Selasa.
Beliau berkata, Malaysia memberi keutamaan kepada teknologi baharu seperti AI, industri digital dan pengkomputeran kuantum selain terus menyokong sektor tradisional termasuk minyak serta gas.
Anwar menekankan, inisiatif kesalinghubungan tenaga serantau, termasuk projek kabel dasar laut yang menghubungkan Asia Tenggara dan potensi kerjasama melibatkan Sarawak Energy serta Malaysia serta berharap dapat memanfaatkan kepakaran Jepun.
Beliau turut menzahirkan penghargaan atas peranan industri Jepun yang telah lama wujud dalam pembangunan ekonomi Malaysia.
“Ramai dalam kalangan anda sudah biasa dengan Malaysia, pernah ke Malaysia dan saya datang ke sini untuk mengucapkan terima kasih kepada anda semua, peneraju industri Jepun, atas sokongan anda,” kata beliau.
Beliau berkata, syarikat Jepun merupakan antara pelabur terawal di Malaysia selepas kemerdekaan, membantu memacu perjalanan perindustriannya.
Beliau menekankan, kerjasama erat antara universiti dan institusi penyelidikan Malaysia-Jepun, termasuk lawatan beliau ke Universiti Tokyo pagi ini apabila Pusat Penyelidikan Sains dan Teknologi Lanjutannya akan bekerjasama dengan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dalam penyelidikan peringkat tinggi tidak lama lagi.
Terdahulu, Anwar bertemu dengan eksekutif daripada enam syarikat Jepun, iaitu IBM, Mitsubishi Corporation, ENEOS Corporation, Shizen Energy, DENSO Corporation dan Marubeni Corporation untuk membincangkan peluang pelaburan dalam sektor seperti tenaga, industri halal, AI serta pengkomputeran termaju.
Anwar dalam lawatan rasmi tiga hari ke Jepun diiringi oleh Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani serta Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Steven Sim Chee Keong.
Mesyuarat hari ini merupakan sebahagian daripada usaha Malaysia untuk menarik pelaburan, memperkukuh sektor teknologi tinggi dan meningkatkan kerjasama ekonomi dengan Jepun.
Turut hadir, Tan Sri Mohd Hassan Marican yang merupakan Pengerusi Pasukan Petugas Pengurusan Krisis (PPPK) di bawah Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN).
Anwar dijadualkan menyampaikan ucaptama bertajuk ‘Navigating Strategic Uncertainty’ di Forum Nikkei ke-31 esok di bawah tema ‘Working Together for a More Resilient and Prosperous Asia’.
Kemudian, beliau akan diberikan majlis sambutan rasmi di Pejabat Perdana Menteri Jepun, diikuti pertemuan dua hala dengan rakan sejawatan sebelum kembali ke Kuala Lumpur.- Bernama



