Rotary Club Bangsar teroka kerjasama bersama Media Prima

Rotary Club Bangsar teroka kerjasama bersama Media Prima

am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Rotary Club Bangsar mengadakan lawatan korporat ke Media Prima Berhad (MPB) di Balai Berita, Bangsar, hari ini bagi memperkukuh hubungan strategik serta meneroka peluang kerjasama dalam memperluaskan kesedaran masyarakat terhadap pelbagai program kebajikan yang dilaksanakan.

Delegasi seramai 12 orang diketuai presidennya, Ravider Singh, manakala Media Prima diwakili Ahli Lembaga Pengarah Media Prima, Abdullah Abu Samah.

Turut hadir Timbalan Pengarang Urusan Kumpulan NCA Media Prima merangkap Pengarang Kumpulan NST, Farrah Naz Abd Karim, Timbalan Pengarang Kumpulan BH, M Thillinadan dan Timbalan Pengarang Kumpulan NST, Sharanjit Singh.

Lawatan yang berlangsung dari jam 10 pagi hingga 12 tengah hari itu dimulakan dengan sesi tinjauan ke beberapa fasiliti utama Media Prima, termasuk Media Prima Audio di Aras G, studio News & Current Affairs serta studio Wanita Hari Ini (WHI) di Aras 2, Rev Media Group di Aras 3 dan ruang editorial di Aras 4.

Ravider berkata, lawatan itu memberi peluang kepada ahli Rotary Club Bangsar memahami operasi di sebalik organisasi media terbesar negara selain membuka ruang kerjasama untuk memperhebat penyampaian maklumat berkaitan program kemasyarakatan yang dijalankan kelab terbabit.

“Rotary Club Bangsar adalah sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang memberi bantuan kepada golongan memerlukan tanpa mengira kaum, usia dan latar belakang.

“Kami menjalankan pelbagai program kebajikan termasuk membantu komuniti Orang Asli yang kurang mendapat akses kepada rawatan kesihatan, bekalan makanan dan keperluan asas.

“Melalui lawatan ini, kami melihat bagaimana media boleh membantu menyampaikan maklumat kepada masyarakat mengenai usaha yang kami laksanakan supaya lebih ramai pihak mendapat manfaat daripada program yang dianjurkan,” katanya.

Beliau berkata, Rotary Club Bangsar akan turut menganjurkan program pemeriksaan kesihatan komuniti hujung bulan ini termasuk pemeriksaan mata serta saringan kanser prostat kepada orang ramai, khususnya golongan B40.

“Kami menyediakan geran berjumlah RM50,000 bagi membantu pesakit katarak dalam kategori B40 mendapatkan rawatan yang diperlukan.

“Pada masa sama, kami mahu meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan saringan kesihatan kerana masih ramai yang takut atau malu untuk menjalani pemeriksaan awal,” katanya.

Mengulas lawatan itu, Ravider berkata beliau kagum dengan skala operasi Media Prima yang disifatkannya sebagai antara organisasi media paling komprehensif di negara ini.

Katanya, menerusi lawatan itu ia dapat diterjemahkan kepada kerjasama lebih erat pada masa hadapan, khususnya dalam mempromosikan inisiatif kebajikan dan program pembangunan komuniti yang memberi manfaat kepada golongan memerlukan.

“Lawatan ini benar-benar membuka mata kami. Ramai tidak mengetahui apa yang berlaku di sebalik tabir sesebuah organisasi media.

“Kami berpeluang melihat operasi radio, platform digital dan bilik berita. Saya amat menghargai komitmen warga media yang bekerja tanpa mengira masa untuk memastikan maklumat dapat disampaikan kepada masyarakat,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top