puterialia@hmetro.com.my
Kuala Lumpur : Selepas mengalami kegagalan rumah tangga sebanyak dua kali, pelakon Adrea Abdullah bagaimanapun tidak menutup pintu hatinya untuk kembali bergelar isteri sekiranya dipertemukan dengan lelaki yang mampu membahagiakannya.
Adrea atau Nik Adrea Nik Abdullah, 49, berkata dia menyerahkan perkara itu kepada ketentuan takdir dan rezeki daripada Allah SWT.
“Kalau Allah kata ada rezeki untuk saya berkahwin lagi dengan lelaki yang baik dan boleh membahagiakan, saya sentiasa terbuka. Namun, jika Allah kata jodoh saya sampai di situ sahaja, saya tetap tenang.
“Sebabnya, setiap kali saya bangun tidur sekarang, saya akan terfikir. Ya Allah, dah tak ada orang maki hamun dan dera mental saya lagi. Syukur sangat dengan nikmat Allah ini. Saya rasa sangat tenang.
“Sebab itu bila orang tanya khabar, saya akan jawab, ‘I am happily divorced and peacefully divorced’ (Saya bahagia dan tenang bercerai),” katanya kepada Harian Metro ketika ditemui baru-baru ini.
Biarpun reda dengan status ibu tunggal yang digalas, Adrea menganggap segala kekecewaan yang dilalui sebelum ini sebagai satu bentuk teguran daripada-Nya agar tidak terus hanyut dengan duniawi.
“Kadang-kadang Allah berikan ujian yang kita mampu hadapi. Bila Dia tengok kita dah mula hanyut sikit, Dia tarik balik (nikmat) untuk sedarkan kita tentang realiti. Waktu sakit, sengsara dan kecewa itulah baru kita menangis dan kembali kepada-Nya.
“Bagi saya, itu tanda Allah sayangkan saya. Dia tak mahu saya hanyut. Bayangkan kalau Dia bagi kita kaya kemudian kita terus hanyut (lupa diri), ketika itu tak boleh buat apa-apa dah,” kongsinya.
Dalam pada itu, Adrea yang bakal aktif semula dalam industri seni ini berkata, dia mengambil inisiatif untuk membaca dan memahami skrip agar watak yang dibawanya sebati dengan dirinya sebelum penggambaran bermula.
“Penonton tidak akan tahu apa masalah yang saya lalui sebelum ini. Apa yang mereka tahu dan akan pertikaikan adalah kenapa lakonan Adrea tak lagi sama seperti dulu.
“Saya tak mahu perkara itu berlaku. Jadi untuk ‘comeback’ ini, saya mahu pastikan orang luar akan terus mengingati saya dan saya boleh berikan komitmen sepenuhnya, insya-Allah,” katanya.
Terdahulu, Adrea mendirikan perkahwinan bersama Zul Selamat pada 9 Jun 2018 dan berpisah pada 2022. Sepanjang perkahwinan tersebut, mereka tidak dikurniakan cahaya mata.
Bagaimanapun, Adrea memiliki seorang anak lelaki hasil perkahwinannya yang terdahulu.
Dalam perkembangan lain, Adrea bakal muncul dalam filem terbaharu berjudul The Real Mamu arahan Zulkfili Abu Hassan dan Dharma Nasution.
© New Straits Times Press (M) Bhd




