Mexico City: Piala Dunia 2026 bermula awal pagi esok apabila tuan rumah bersama, Mexico menentang Afrika Selatan di Stadium Azteca, Mexico City, sekali gus membuka tirai kejohanan terbesar dalam sejarah yang melibatkan 48 pasukan dan berlangsung hampir enam minggu.
Kejohanan dianjurkan bersama oleh Amerika Syarikat (AS), Mexico dan Kanada itu akan berlangsung sehingga perlawanan akhir di East Rutherford, New Jersey pada 20 Julai.
Piala Dunia kali ini dijangka menjana pendapatan rekod sebanyak AS$13 bilion (RM52 bilion).
Namun, badan induk bola sepak dunia, FIFA, berdepan kritikan hebat berhubung harga tiket yang melambung tinggi, selain tindakan keras imigresen Presiden Donald Trump yang menyebabkan seorang pengadil terkemuka, pegawai pasukan Iran dan beberapa penyokong gagal memasuki AS.
Bercakap di Mexico City pada Rabu, Presiden FIFA, Gianni Infantino, mempertahankan penganjuran kejohanan itu dan menepis kritikan mengenai isu visa.
Infantino menegaskan harga tiket ditetapkan secara munasabah walaupun ada tiket yang mencecah lebih AS$30,000 (RM122,000, sambil merujuk kepada sejumlah tiket bernilai AS$60 (RM244) yang diperkenalkan susulan kritikan tersebut.
“Biar saya jelaskan harga tiket masuk kami iaitu AS$60 adalah yang paling rendah berbanding mana-mana sukan utama Amerika pada peringkat playoff,” katanya.
“Harga purata tiket kami yang di bawah AS$500 (RM2035) jug antara yang terendah dalam sukan profesional Amerika. Kami tidak mengawal semuanya.”
Infantino turut meredakan kontroversi membabitkan pengadil Somalia, Omar Artan, yang ditolak kemasukan selepas tiba di Miami.
FIFA mengesahkan Artan tidak akan terlibat dalam kejohanan selepas Jabatan Negara Amerika Syarikat menyatakan beliau mempunyai kaitan dengan individu yang disyaki terlibat dengan organisasi pengganas.
“Apa yang berlaku kepada pengadil dari Somalia itu memang malang,” kata Infantino. “Kami tidak mengawal segala-galanya. Kadang-kadang kita perlu bertenang. Kami berusaha menangani semua perkara dan cuba menyelesaikan setiap isu.”
Beliau juga menyifatkan penyertaan Iran dalam Piala Dunia ketika negara itu berdepan konflik ketenteraan dengan Amerika Syarikat sebagai satu kejayaan FIFA.
“Ramai yang berkata Iran tidak akan dapat datang ke Piala Dunia,” katanya. “Terdapat banyak cabaran dan ia bukan mudah. Tetapi saya tidak tahu siapa lagi yang mampu memastikan Iran dapat hadir dan bermain dalam keadaan seperti ini, yang berada di luar kawalan kami.”
Hubungan rapat Infantino dengan Trump turut menjadi perhatian, namun beliau tidak lokek memuji presiden Amerika Syarikat itu.
“Tanpa penglibatan dan sokongan beliau, adalah mustahil untuk menganjurkan Piala Dunia di Amerika Syarikat,” katanya.
Trump pula mengesahkan beliau bercadang menghadiri beberapa perlawanan Piala Dunia, walaupun tidak memperincikan jadualnya.
“Saya bercakap dengan Gianni pagi ini, beliau berkata kejohanan ini akan menjadi yang paling berjaya pernah dianjurkan,” kata Trump.
Sementara itu, ketua jurulatih Afrika Selatan, Hugo Broos mengingatkan anak buahnya supaya tidak terpengaruh dengan sorakan lebih 85,000 penyokong Mexico dalam perlawanan pembukaan di Stadium Azteca, venue ikonik yang pernah menjadi tuan rumah final Piala Dunia 1970 dan 1986.
“Mereka akan disokong 85,000 rakyat Mexico yang menyanyi dan bersorak. Tetapi kami perlu fokus kepada permainan sendiri. Jika berjaya melakukannya, kami boleh memberikan saingan yang baik,” kata jurulatih dari Belgium itu.
Mexico pula belum pernah memenangi mana-mana daripada tujuh perlawanan pembukaan mereka di Piala Dunia.
“Kami perlu memecahkan rekod itu,” kata jurulatih Mexico, Javier Aguirre. “Ia menjadi satu lagi sumber motivasi buat kami.”
Sementara itu, Korea Selatan akan menentang Rep Czech dalam satu lagi aksi pada hari pembukaan di Guadalajara.
Juara Eropah, Sepanyo bersama Perancis dan England dianggap sebagai pilihan utama kejohanan, manakala juara bertahan Argentina akan bergantung kepada kapten berusia 38 tahun, Lionel Messi, untuk membawa mereka ke pentas final sekali lagi.
England menamatkan persiapan mereka dengan kemenangan meyakinkan 3-0 ke atas Costa Rica, awal pagi tadi dalam perlawanan yang tertangguh selama sejam akibat ribut petir di Orlando.
Gol daripada Declan Rice, Anthony Gordon dan Ollie Watkins memastikan kemenangan skuad kendalian Thomas Tuchel itu.
“Setakat ini suasananya lebih seperti kem pramusim di luar negara,” kata Tuchel. “Tetapi hari ini kami berjaya menetapkan nada yang tepat menjelang kejohanan.”
© New Straits Times Press (M) Bhd




