Ipoh: Kerajaan negeri akan terus memantau sebarang aktiviti melibatkan etnik Rohingya di Perak bagi memastikan keselamatan dan ketenteraman awam sentiasa terpelihara.
Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad berkata pemantauan dengan kerjasama pihak berkuasa itu dilakukan susulan maklumat terdapat segelintir individu dalam kalangan etnik berkenaan telah membina kemudahan seperti rumah dan sekolah.
“Kebanyakan daripada etnik Rohingya ini berada di Manjung dan mereka memakai lencana Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) di Malaysia. Kita tak pasti sejauh mana keasliannya.
“Jadi, kita akan buat pemantauan berterusan dengan pihak berkuasa disebabkan ada maklumat yang diterima melalui mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN), segelintir daripada mereka ini telah membina rumah dan sekolah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Majlis Pelancaran Bulan Falak Peringkat Negeri Perak bagi Tahun 1448H/2026 di sini hari ini.
Saarani berkata setakat ini kerajaan negeri tidak mempunyai angka tepat berhubung jumlah etnik berkenaan di negeri ini, namun beberapa maklumat awal sedang diteliti bagi mendapatkan gambaran lebih jelas mengenai perkara itu.
“Kita bimbang kerana jumlah mereka ramai. Bila ramai maka mereka akan rasa kuat. Walaupun buat masa ini kita tak dengar masalah besar melibatkan etnik tersebut, kita akan mengambil tindakan sewajarnya jika sesuatu yang tidak baik berlaku,” katanya.
Sebelum ini, data menerusi laman sesawang UNHCR merekodkan 215,600 pelarian dan pencari suaka berdaftar dengan UNCHR di Malaysia hingga Februari lepas.
Daripada jumlah berkenaan, pelarian tertinggi yang berada di negara ini adalah dalam kalangan warga Myanmar dengan etnik Rohingya mewakili 193,824 orang, etnik Chin (15,774) dan individu daripada kumpulan etnik lain (33,002).
© New Straits Times Press (M) Bhd




