
Rakaman TV Iran menunjukkan sebuah kapal tangki sedang terbakar. – Agensi
HYDERABAD – Sebuah kapal dengan kru warga India menjadi kapal ketiga terkena serangan tentera Amerika Syarikat (AS) di luar pantai Oman minggu ini di tengah-tengah konflik ketenteraan baharu AS-Iran.
Kapal tangki Asfalt Jalveer yang mengibarkan bendera Guinea-Bissau diserang berhampiran pelabuhan Shinas, Oman pada Khamis.
“Kapal itu mempunyai 20 kru warga India dan kesemua mereka dilaporkan selamat,” kata Setiausaha Tambahan Kementerian Luar India, Aseem Mahajan dalam sidang media di New Delhi.
Sebuah pesawat melepaskan dua peluru berpandu Hellfire ke bilik enjin kapal itu “selepas kru berulang kali gagal mematuhi arahan,” menurut kenyataan Komando Pusat AS (CENTCOM).
Tiga pelaut India terbunuh manakala 21 lagi diselamatkan selepas kapal berbendera Palau, Settebello, diserang AS di perairan Oman pada Rabu kerana didakwa cuba mengangkut minyak Iran.
Menurut CENTCOM, sebuah pesawat AS melepaskan peluru berpandu tepat ke bilik enjin kapal itu selepas kru gagal mematuhi arahan pihak tentera Amerika.
Kementerian Luar India pada Rabu memanggil kuasa usaha Kedutaan AS di New Delhi bagi mengemukakan bantahan rasmi.
Tentera AS pada 8 Jun turut menyerang kapal tangki minyak berbendera Palau, Marivex, di Teluk Oman dengan mendakwa kapal itu melanggar sekatan ketenteraan AS yang sedang berkuat kuasa “dengan cuba belayar ke pelabuhan Iran.”
Ketegangan ketenteraan di Asia Barat meningkat susulan serangan Israel dan AS terhadap infrastruktur serta kemudahan lain di Iran.
Pihak Berkuasa Selat Teluk Parsi (PGSA) yang baharu ditubuhkan dan mengurus perkapalan di Selat Hormuz berkata pada Khamis bahawa laluan laut penting itu akan ditutup sepenuhnya susulan peningkatan ketenteraan.
“Pemohon yang telah menerima permit laluan diminta bersabar dan menunggu arahan lanjut daripada PGSA,” menurut hantaran di media sosial. – Bernama



