
Barisan kepimpinan Bersatu Pahang mengadakan mesyuarat parti itu dan mencadang usul agar Muhyiddin kembali menerajui PN sebagai pengerusi.
KUANTAN – Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin perlu kembali menerajui Perikatan Nasional (PN) sebagai pengerusi gabungan itu dengan segera.
Pendirian itu diputuskan menerusi satu cadangan usul yang dibentangkan dalam mesyuarat Bersatu Pahang pada Khamis susulan keputusan Pas menamatkan kerjasama politik dengan parti tersebut.
Menurut kenyataan Sekretariat Penerangan Bersatu Pahang, ketokohan dan kewibawaan Tan Muhyiddin diyakini mampu meraih sokongan pengundi dalam persaingan dengan Barisan Nasinal (BN) dan Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan bulan hadapan.
“Bersatu Pahang juga menggesa komponen PN iaitu Parti Gerakan Rakyat Malaysia (GERAKAN) dan Malaysian Indian People Party (MIPP) menyokong cadangan ini demi kesinambungan perjuangan dan semangat setiakawan,” katanya dalam satu kenyataan pada malam Khamis.
Kenyataan itu turut memaklumkan pihaknya mengambil langkah memperkemaskan organisasi Bersatu Pahang dan merancang gerak kerja bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 pada akan datang.
“Kita telah siap siaga untuk kerahan mobilisasi anggota bagi membantu kerja pilihanraya di dua negeri berkenaan,” katanya.



