
Ahmad Zahid (kiri) mempengerusikan Mesyuarat Agung Tahunan BN di Pejabat UMNO Johor pada malam Sabtu.
JOHOR BAHRU – Barisan Nasional (BN) menjadikan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan sebagai fokus utama parti dengan menggerakkan seluruh jentera secara menyeluruh bagi memastikan kemenangan dalam pilihan raya berkenaan.
Setiausaha Agung BN, Datuk Zambry Abdul Kadir berkata, Ketetapan itu diputuskan dalam Mesyuarat Agung Tahunan BN dipengerusikan Presiden UMNO yang juga Pengerusi BN Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di Ibu Pejabat UMNO Johor pada malam Sabtu.
“Kita telah mendengar taklimat mengenai persiapan PRN yang diberikan oleh Menteri Besar Johor dan Pengurusi BN Negeri Sembilan yang terlibat.
“Mesyuarat turut menzahirkan iltizam dan kesepakatan kepimpinan BN untuk terus memperkukuh parti, menjamin kestabilan politik negara serta merangka strategi terbaik bagi menghadapi pilihan raya akan datang,” katanya.

Ahmad Zahid
Zambry yang juga Menteri Pendidikan Tinggi menambah, BN akan terus memperkukuhkan kesatuan dalam kalangan parti-parti komponen serta Friends of BN bagi memastikan kestabilan politik dan membina pentadbiran yang terus diyakini rakyat.
“Mesyuarat juga memuktamadkan pendirian bahawa BN akan bertanding menggunakan logo dacing pada PRN Johor dan Negeri Sembilan.
“Dalam masa sama, agenda keahlian terus BN atau BN Direct Membership akan diperkasakan, khususnya bagi menarik penyertaan golongan profesional, anak muda dan masyarakat umum,” katanya.
Menurut beliau lagi, BN juga menegaskan komitmen untuk terus mendukung Kerajaan Perpaduan demi memastikan kestabilan negara, meningkatkan keyakinan pelabur serta menjayakan agenda pembangunan sehingga tamat penggal pentadbiran semasa.



