'Saya risau fitnah yang menang'

'Saya risau fitnah yang menang'

khairil.ashraf@hmetro.com.my

Menteri Besar Johor, DATUK ONN HAFIZ GHAZI menyifatkan Pilihan Raya Negeri (PRN) yang bakal berlangsung di negeri itu pada 11 Julai depan bukan satu perkara yang mudah.

Pengerusi BN Johor itu juga melahirkan kerisauannya terhadap fitnah dan hasutan terutamanya semasa musim pilihan raya berlangsung.

Ikuti perkongsiannya bersama wartawan Media Prima dalam temubual yang turut disertai wartawan Harian Metro, MOHAMMAD KHAIRIL ASHRAF MOHD KHALID untuk Kafe Ahad minggu ini.

Ada yang berpendapat kejayaan pentadbiran Datuk lebih banyak didorong oleh kepimpinan peribadi, maksudnya di luar kekuatan keseluruhan barisan EXCO. Jadi apa komen Datuk?

Kejayaan yang Johor kecapi pada hari ini, syukur alhamdulillah dengan kuasa tuhan dan ia adalah berkat kerjasama barisan EXCO dan juga pegawai-pegawai kerajaan daripada Persekutuan dan juga negeri.

Kami sentiasa mengamalkan pendekatan yang melibatkan seluruh rakyat dan seluruh jentera kerajaan.

Kalau nak berjaya, kita kena bergerak sebagai satu pasukan. Jadi, nak kata saya seorang buat kerja, tak betul.

Ini benar-benar merupakan usaha seluruh pasukan. Seperti yang anda tahu, ia bukanlah sesuatu yang mudah kerana saya bersama seluruh pasukan, termasuk pegawai kerajaan, semua bertungkus-lumus untuk menjayakan agenda Maju Johor.

Adakah Datuk lebih yakin untuk menghadapi pilihan raya atau berpendapat BN Johor tidak seharusnya terlalu selesa?

Kami tidak mengambil mudah perkara ini. Apapun senario, kami anggap kami underdog dan kami akan bekerja dengan bersungguh-sungguh disebabkan kita sudah bekerja keras empat tahun.

Yang saya risaukan ialah akhirnya yang menang ialah fitnah dan hasutan. Itulah perkara yang paling saya risaukan.

Orang boleh memuat naik video di TikTok, membuat pelbagai kenyataan di Facebook, Instagram dan Threads tanpa perlu melakukan sebarang kerja.

Apa yang mereka perlu lakukan hanyalah hasut dengan harapan orang termakan dengan hasutan itu.

Saya risau juga orang yang menabur janji bulan dan bintang. Mereka tidak berbuat apa-apa untuk Johor sepanjang beberapa tahun lalu, tetapi apabila tiba masa saya cakap kita bertanding solo 56 kerusi, tiba-tiba dia boleh janjikan lepas ini nak buat macam-macam untuk Johor.

Di manakah mereka sebelum ini? Apa yang telah mereka lakukan untuk Johor sepanjang beberapa tahun kebelakangan ini? Tetapi walaupun itu logik akal saya begitu, tetapi saya risau, saya risau tengok orang Johor termakan dengan retorik, dengan hasutan dengan propaganda.

Itu yang saya risau. Disebabkan itu saya kata, ini bukan satu pilihan raya yang mudah bagi saya.

Berdasarkan kebimbangan ini, adakah Datuk mengambil langkah berjaga-jaga lebih awal?

Kalau dilihat di lapangan, saya rasa majoriti bangsa Johor tahu apa yang kerajaan Johor buat selama ini.

Namun kalau kita tengok di media sosial, sekali lagi, saya dapati semakin banyak akaun palsu muncul.

Begitu juga dengan individu yang menggunakan identiti palsu tiba-tiba ada di semua ruangan Johor.

Saya tengok mereka menghasut, saya lihat mereka cuba menggambarkan seolah-olah kerajaan Johor tak pernah buat kerja.

Jadi ada perbezaan apa yang berlaku di lapangan dengan apa yang berlaku di alam media sosial.

Tapi saya yakin bahawa rakyat bangsa Johor dapat membezakan antara kaca dengan permata. Saya yakin insya-Allah.

Mengenai calon, sejauh mana muka baharu ini boleh memenangi hati pengundi?

Dari segi calon, saya lihat bahawa kami kini berada pada tahap 80 peratus dalam usaha memuktamadkan senarai tersebut.

Bagi saya, penerimaan calon di peringkat akar umbi sangat penting.

Formula yang kita buat dahulu semasa Datuk Seri Hasni Mohammad memimpin BN di Johor berkesan.

Kami akan memperkemaskannya lagi bagi memastikan bahawa penerimaan rakyat di bawah dapat menerima calon kita.

Apakah kriteria ditetapkan dalam pemilihan calon kali ini?

Tiada formula khusus sama ada calon itu muda atau senior dan sebagainya.

Bagi saya, yang penting di setiap 56 DUN yang kita tandingi, calon itu dapat diterima rakyat dan insya-Allah memenangkan kita semasa pilihan raya.

Bagaimana dengan kemunculan semula orang lama seperti Tan Sri Syed Hamid Albar dan Datuk Seri Hishammuddin Hussein membantu kempen BN?

Disebabkan itu saya kata kekuatan mana-mana pasukan bergantung kepada ahli-ahli pasukan.

Saya sangat bersyukur apabila rakan-rakan yang mungkin sedikit senyap sebelum ini kembali berpaut bersama untuk menguatkan jentera kita.

Di Johor, kita selalu cakap apa? Muafakat itu berkat dan saya rasa dengan muafakat itu, jentera kita akan lebih bersemangat berjuang untuk menang.

Berapa sasaran Datuk terhadap kerusi yang dimenangi oleh MCA dalam pilihan raya kali ini?

Berhubung kemenangan MCA, saya minta bangsa Johor untuk terus memberikan sokongan kepada MCA kerana mereka adalah sebahagian daripada BN.

Sama juga dengan UMNO, sama juga dengan MIC. kita adalah sebahagian daripada keluarga BN.

Berapa mereka menang? Saya harap sebanyak mungkin. Kalau mereka bertanding di mana-mana kerusi atau berapa jumlah mereka bertanding, saya harap bangsa Johor akan memberikan sokongan penuh kepada mereka.

Seperti saya katakan, kita perlukan kerajaan yang stabil. Ada sentimen yang dimainkan di bawah mengatakan jangan bagi BN menang terlalu besar.

Kalau BN menang terlalu besar, mereka akan angkuh dan sebagainya.

Saya rasa insya-Allah, empat tahun kebelakangan ini walaupun kita mendapat 2/3 majoriti, kita tidak pernah angkuh.

Kami datang daripada latar belakang yang mementingkan semangat berpasukan dan nilai kekeluargaan.

Oleh itu, saya akan terus mengingatkan diri saya dan pasukan yang saya pimpin bahawa kami mesti memimpin dengan penuh rendah diri.

Jadi, saya ingin memberi jaminan kepada bangsa Johor insya-Allah, jika anda memberikan mandat yang kuat malah lebih kukuh kepada kami, soal ego dan seumpamanya bukanlah keutamaan kami.

Tugas kami adalah untuk berkhidmat dan memimpin empat juta rakyat Johor.

Bagaimana dengan manifesto pada PRN kali ini?

Hasil perbincangan dan semakan bersama pasukan saya, kami mendapati lebih 80 peratus daripada janji yang terkandung dalam manifesto sebelum ini telah berjaya dilaksanakan.

Saya akan melancarkan manifesto BN Johor, insya-Allah dalam beberapa minggu akan datang dan manifesto kita konsisten dengan Maju Johor.

Ia selari dengan enam teras. Perlu ada kesinambungan. Kita tidak boleh bermula dari kosong.

Seperti yang saya katakan tadi, ada momentum yang sedang berlaku.

Saya perlu membina atas momentum itu supaya kita dapat mencapai hasil yang maksimum.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top