Miami: Uruguay terlepas peluang mengutip tiga mata apabila sekadar seri 1-1 dengan Arab Saudi dalam aksi pembukaan Kumpulan H Piala Dunia 2026, sekali gus gagal memanfaatkan keputusan seri tanpa jaringan antara Sepanyol dan Cape Verde yang berlangsung lebih awal.
Wira Uruguay, Maximiliano Araujo, menjaringkan gol penyamaan 10 minit sebelum tamat permainan untuk menyelamatkan pasukannya daripada kekalahan mengejut.
Arab Saudi yang pernah mengejutkan Argentina 2-1 pada aksi pembukaan Piala Dunia 2022 hampir mencipta satu lagi kemenangan sensasi menerusi jaringan Abdulelah Al Amri pada minit ke-41.
Pengendali Uruguay, Marcelo Bielsa mengakui keputusan itu mengecewakan selepas pasukannya gagal mengambil kesempatan daripada keputusan seri Sepanyol.
“Ini lawan yang sepatutnya kami tewaskan. Kami membuang terlalu banyak minit pada separuh masa pertama dan tidak melakukan perkara dengan betul.
“Kami sepatutnya menang perlawanan ini,” kata Bielsa.
Uruguay bermula sebagai pasukan pilihan dan hampir membuka jaringan seawal minit kelima menerusi percubaan Araujo, namun penjaga gol Arab Saudi, Mohammed Al Owais, berjaya menepis bola.
Penyerang Federico Vinas turut memiliki peluang terbaik pada babak pertama menerusi tandukan, namun sekali lagi Al Owais bertindak cemerlang.
Arab Saudi yang dibimbing Georgios Donis mula mengancam selepas itu dan berjaya memecah kebuntuan apabila tandukan Mohamed Kanno gagal ditangkap kemas oleh penjaga gol veteran Uruguay, Fernando Muslera, sebelum Al Amri menyambar bola muntah untuk menjadikan kedudukan 1-0.
Uruguay tampil lebih tersusun selepas rehat dan hampir menyamakan kedudukan menerusi Manuel Ugarte pada minit ke-60, namun rembatannya sekadar menggegar tiang gol.
Gol penyamaan akhirnya hadir pada minit ke-80 apabila tandukan Vinas sekali lagi ditepis Al Owais, tetapi bola melantun tepat ke arah Araujo yang tenang mengawal sebelum menyudahkan peluang dari jarak dekat.
Uruguay terus mengasak untuk mencari gol kemenangan, dengan Federico Valverde dan Jose Maria Gimenez hampir menjaringkan gol, namun Al Owais terus menjadi benteng kebal Arab Saudi.
Donis memuji semangat juang pemainnya walaupun mengakui pasukan masih boleh meningkatkan prestasi.
“Kami sangat letih pada penghujung perlawanan, tetapi memperoleh satu mata menentang lawan seperti ini adalah keputusan positif.
“Saya suka semangat dan kesungguhan pemain, namun saya percaya kami mempunyai kualiti untuk bermain lebih baik,” kata Donis.
© New Straits Times Press (M) Bhd




