
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook dan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi bersemuka pada Majlis Peluncuran Operasi Shuttle Selatan di Stesen Keretapi Kulai, pada Selasa.
KULAI – Selepas beberapa hari “berbalah” di media sosial Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook dan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi akhirnya bersemuka pada Majlis Peluncuran Operasi Shuttle Selatan di Stesen Keretapi Kulai, pada Selasa.
Pertemuan kedua-dua pemimpin itu menarik perhatian apabila ia berlaku selepas masing-masing berbalas kenyataan berhubung beberapa isu melibatkan hubungan antara kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Kehadiran Anthony Loke yang juga Setiausaha Agung DAP pada jam 12.45 tengah hari disusuli dengan Onn Hafiz yang juga Pengerusi BN Johor lima minit kemudian.

Onn Hafiz bersama Anthony Loke tiba di Stesen Keretapi Kulai pada Selasa.
Mereka turut bersalaman dan berbual mesra sebelum ke pentas majlis.
Turut hadir, Exco Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi negeri, Mohamad Fazli Mohamad Salleh.
Perdebatan antara Anthony Loke dan Onn Hafiz Ghazi menjelang PRN Johor dipercayai tercetus susulan beberapa perkara termasuk isu kerjasama Politik BN-DAP selepas Onn Hafiz dilaporkan enggan bekerjasama dengan DAP bagi menghadapi PRN Johor ketika pelancaran jentera BN di Iskandar Puteri pada 7 Jun lalu.
Kenyataan itu dibalas sindiran oleh Anthony Loke, yang mengingatkan bahawa Presiden UMNO Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi sendiri duduk bersama beliau setiap minggu dalam Kerajaan Perpaduan.
Pada Sabtu lalu, Anthony Loke menjemput Onn Hafiz untuk menaiki KTM Komuter baharu bersama-sama dengannya pada majlis peluncurannya, hari ini.

Onn Hafiz bersama Anthony Loke hadir majlis Peluncuran Operasi Shuttle Selatan di Stesen Keretapi Kulai pada Selasa.
Onn Hafiz kemudian membuat kenyataan terharu apabila akhirnya ‘dijemput’ Anthony Loke, namun mendakwa belum menerima sebarang surat rasmi walaupun lawatan kerja hari ini sudah dirancang sejak seminggu yang lalu.
Penyandang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machap itu mendakwa jemputan diterima selepas beberapa lawatan Loke membabitkan projek di negeri ini tidak pernah membabitkan dirinya atau EXCO kerajaan negeri yang bertanggungjawab.



