Timber jadi mangsa insiden latihan

Timber jadi mangsa insiden latihan

Atlanta: Pemain tengah Belanda, Quinten Timber disahkan terlepas aksi Kumpulan F Piala Dunia menentang Sweden, Ahad ini, selepas mengalami kecederaan ketika sesi latihan.

Pegawai pasukan mengesahkan pemain berusia 25 tahun itu mengalami gegaran otak ringan selepas bertembung dengan pemain lain ketika latihan, semalam.

Pasukan perubatan terus memantau keadaannya sebelum memutuskan dia tidak boleh diturunkan untuk perlawanan itu.

“Ketika Quinten menguasai bola, saya membuat larian ke depan. Dia mahu melambungkan bola kepada saya sebelum insiden itu berlaku.

“Ia bukan pelanggaran yang terlalu kuat, tetapi kita perlu berhati-hati,” kata rakan sepasukannya, Teun Koopmeiners kepada media Belanda.

Berita itu menjadi tamparan buat Timber yang menyambut ulang tahun kelahirannya yang ke-25 pada Rabu lalu.

Dia hanya berada di bangku simpanan ketika Belanda seri 2-2 dengan Jepun pada aksi pembukaan.

Kembar Quinten, Jurrien Timber pula lebih awal terlepas saingan Piala Dunia akibat kecederaan pangkal paha.

Pertahanan Arsenal itu menyertai kem latihan Belanda lewat selepas kekalahan kepada Paris Saint-Germain pada final Liga Juara-Juara.

Namun, dia terpaksa menarik diri daripada skuad sebelum aksi pemanas badan menentang Uzbekistan di New York.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top