New York: Jersi yang dipakai pemain di pentas Piala Dunia bukan lagi sekadar pakaian sukan, sebaliknya menjadi medium untuk mengetengahkan sejarah, budaya dan identiti unik negara masing-masing.
Sepanjang kejohanan yang berlangsung di Amerika Syarikat (AS), Kanada dan Mexico, pelbagai rekaan jersi menarik perhatian peminat kerana menyimpan kisah tersendiri di sebalik corak dan warna yang digunakan.
Antara yang paling mencuri tumpuan ialah jersi sulung Cape Verde yang menampilkan corak laluan penerbangan menghubungkan 10 pulau utama negara itu sebagai simbol perpaduan rakyat.
Sementara itu, jersi kedua Belgium pula membawa sentuhan seni surealisme dengan tulisan ‘This is not a jersey’ pada bahagian kolar sebagai penghormatan kepada pelukis terkenal, Rene Magritte.
Bagi Haiti, mereka terpaksa mengubah reka bentuk asal selepas badan induk bola sepak dunia tidak meluluskan corak yang memaparkan adegan pertempuran terakhir perang kemerdekaan negara itu pada 1803 kerana dianggap terlalu berunsur politik.
Juara bertahan Argentina pula menggabungkan sejarah bola sepak dan seni tempatan menerusi jersi yang mengambil inspirasi daripada kejayaan mereka menjulang Piala Dunia pada 1978, 1986 dan 2022.
Jersi kedua Argentina turut menampilkan elemen filete porteno, iaitu seni lukisan tradisional dari Buenos Aires yang terkenal dengan corak berpusar dan warna terang.
Bagi Perancis, jersi kedua berwarna hijau dihasilkan sebagai penghormatan kepada Patung Liberty yang dihadiahkan Perancis kepada AS pada 1886 sebagai simbol persahabatan antara kedua-dua negara.
Satu lagi rekaan yang mempunyai mesej penting ialah jersi Iran yang memaparkan imej cheetah Asia, spesies terancam yang kini dianggarkan mempunyai kurang daripada 70 ekor di negara berkenaan.
Jersi Norway pula menggunakan tulisan berinspirasikan abjad runik purba selain dihiasi corak seni Viking yang mencerminkan sejarah berabad-abad negara itu.
Di Amerika Selatan, Colombia memilih corak rama-rama kuning sebagai penghormatan kepada novel terkenal One Hundred Years of Solitude hasil karya pemenang Hadiah Nobel, Gabriel Garcia Marquez.
Tuan rumah bersama, Mexico menghidupkan semula rekaan kalendar Aztec yang popular pada era 1990-an, manakala Arab Saudi menggunakan corak geometri yang sering menghiasi pintu dan kediaman tradisional di negara itu.
Tidak ketinggalan, Brazil mengambil inspirasi daripada katak beracun Amazon menerusi jersi kedua mereka, sebagai simbol ancaman yang dibawa juara dunia lima kali itu kepada lawan.
Semua rekaan berkenaan membuktikan bahawa jersi Piala Dunia bukan sekadar lambang pasukan, malah menjadi kanvas yang menceritakan sejarah, budaya dan identiti sesebuah negara kepada dunia.
© New Straits Times Press (M) Bhd




