Hakimi kekal tenang di sebalik dakwaan rogol

Hakimi kekal tenang di sebalik dakwaan rogol

Foxborough, Amerika Syarikat: Kapten Maghribi, Achraf Hakimi disifatkan berada dalam keadaan ‘sangat tenang’ walaupun bakal dibicarakan di Perancis atas tuduhan merogol, kata jurulatih pasukan itu, Mohamed Ouahbi selepas kemenangan 1-0 ke atas Scotland pada aksi Piala Dunia, hari ini.

“Dia berada dalam keadaan baik. Dia bangun pagi, bersarapan seperti biasa, membuat persiapan perlawanan dan memberikan motivasi kepada semua pemain.

“Dia berada di bilik persalinan, fokus dan bertekad untuk mempamerkan aksi terbaik. Dia berjaya melakukannya, jadi tiada apa yang perlu diperkatakan.

“Kami sentiasa bersamanya dan dia sangat tenang serta langsung tidak terjejas,” kata Ouahbi mengenai tonggak Paris Saint-Germain (PSG) itu.

Hakimi, 27, berdepan dakwaan merogol seorang wanita berusia 24 tahun di wilayah Paris pada 2023, namun dia menafikan tuduhan berkenaan.

Pemain Terbaik Afrika 2024 itu menerima ejekan daripada sebahagian besar penyokong dalam kalangan lebih 64,000 penonton di Stadium Gillette sepanjang perlawanan menentang Scotland.

Kemenangan ke atas Scotland hadir selepas Maghribi mengikat Brazil 1-1 pada aksi pembukaan minggu lalu, sekali gus mengumpul empat mata daripada dua perlawanan Kumpulan C.

Mereka kini bakal menentang Haiti di Atlanta minggu depan dengan misi memburu tempat ke pusingan seterusnya.

“Dia akan terus bermain dengan cemerlang. Dia adalah bek kanan terbaik dunia dan dia akan membuktikannya pada Piala Dunia ini.

“Dia seorang individu yang sangat penting buat saya, barisan kejurulatihan, pemain dan pasukan Maghribi,” kata Ouahbi.

Dalam pada itu, Ismael Saibari muncul wira Maghribi apabila menjaringkan gol kemenangan selepas hanya 71 saat, sekali gus menjadi jaringan terpantas kejohanan setakat ini.

Ia adalah gol kedua pemain berusia 25 tahun itu dalam kejohanan selepas turut menjaringkan gol ketika menentang Brazil.

Bintang kelahiran Sepanyol yang kini beraksi bersama PSV Eindhoven itu dilaporkan semakin hampir menyertai Bayern Munich.

“Sejak kecil lagi saya bermimpi untuk beraksi di Piala Dunia bersama negara saya.

“Saya berjaya melakukannya dan menjaringkan dua gol. Saya sangat gembira, tetapi perkara paling penting ialah melepasi peringkat kumpulan dan pergi sejauh mungkin,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top