10 pemain Paraguay singkir Turkiye

10 pemain Paraguay singkir Turkiye

Santa Clara, Amerika Syarikat: Paraguay yang beraksi dengan 10 pemain mencipta kemenangan dramatik 1-0 ke atas Turkiye, hari ini, sekali gus menyingkirkan lawan mereka daripada saingan Piala Dunia menerusi aksi bertahan yang cukup berani.

Gol terpantas kejohanan setakat ini menjadi pemisah apabila pemain tengah, Matias Galarza meledak rembatan kencang dari jarak kira-kira 25 meter selepas hanya 64 saat permainan.

Jaringan itu memadam rekod gol terpantas sebelum ini yang dilakukan pemain Maghribi, Ismael Saibari ketika membantu pasukannya menewaskan Scotland 1-0 menerusi gol pada saat ke-71, beberapa jam sebelum itu.

Situasi Paraguay menjadi lebih sukar apabila pemain tengah, Miguel Almiron dilayangkan kad merah secara terus pada masa kecederaan babak pertama selepas menutup mulutnya ketika berdepan pemain Turkiye, Mert Muldur.

Almiron menjadi pemain pertama dikenakan tindakan di bawah peraturan baharu Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) yang diperkenalkan pada Piala Dunia kali ini.

Bermain dengan 10 pemain sepanjang babak kedua, Paraguay terpaksa bertahan daripada gelombang demi gelombang serangan Turkiye.

Namun mereka berjaya mempertahankan kelebihan itu untuk melakar kemenangan penting, sekali gus bangkit daripada kekalahan besar 1-4 kepada Amerika Syarikat dalam perlawanan pembukaan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top